Peniaga naik harga makanan jika barang mentah, beras mahal
BATU GAJAH - Peniaga nasi campur mengakui terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual jika barang-barang mentah di pasaran terus meningkat.
Bagi Azahar Alang Ahmmad, 58, setakat ini harga jualan masih kekal seperti biasa kerana kedai yang membekalkan barangan mentah masih menjual stok lama pada harga rendah.
Menurutnya, peningkatan harga beras di pasaran ketika ini juga sedikit sebanyak mempengaruhi jualan peniaga makanan kerana ia merupakan menu utama selain lauk-pauk yang lain.
"Setakat ini saya masih kekalkan harga sama. Kalau nasi, ayam dan sayur lebih kurang RM6.50 tetapi jika harga barang terus naik memang tak boleh buat apa, terpaksa juga naikkan sedikit dalam 50 sen hingga RM1.
"Saya dah maklum pada pelanggan tetap mungkin harga makan terpaksa naik tetapi kebanyakan mereka memahami situasi semasa harga barang asalkan tidak naik keterlaluan," katanya kepada Sinar Harian.
Azahar yang menjalankan perniagaan di Gerai Rakyat, Jalan Besar Batu Gajah di sini mengakui agak berat untuk menaikkan harga makanan di kedainya kerana kasihan kepada pelanggan.
Namun katanya, jika terus mengekalkan harga sedia ada ketika harga pasaran barang mentah meningkat, ia akan menjejaskan kelangsungan perniagaan yang sudah wujud lebih 30 tahun.
"Kadang-kadang memang ada jualan murah barang-barang mentah ini tetapi tak boleh beli dalam kuantiti yang banyak sebab tempat penyimpanan terhad, takut barang cepat rosak.
"Kalau nak murah, saya pergi sampai ke Seri Iskandar cari barang-barang meniaga selain mengambil dari pembekal sedia ada," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan harga nasi bungkus di Kelantan naik sebanyak 50 sen susulan peningkatan harga beras import termasuk beras Siam yang sedang berlaku ketika ini.
Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati rata-rata peniaga terpaksa berbuat demikian selepas tidak lagi mampu untuk menanggung kenaikan harga beras termasuklah bahan mentah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!