Muda tidak lagi berada dalam blok pengimbang PH di Johor
JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kini tidak lagi berada dalam blok pengimbang Pakatan Harapan (PH) di negeri ini selepas memutuskan kerjasama dan keluar daripada gabungan politik itu pada Ahad.
Ketua Pembangkang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, langkah itu adalah wajar berdasarkan keputusan terkini yang telah diumumkan Muda selepas tidak lagi sehaluan dengan PH dalam beberapa perkara.
"Oleh kerana Muda telah memilih dan memutuskan untuk meninggalkan Kerajaan Peraduan dan bersikap tidak mesra dengan Kerajaan Perpaduan, maka secara automatiknya, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Muda di Johor bukan lagi berada dalam blok pengimbang PH.
"Muda telah memilih untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan. Kami amat kecewa dengan sikap MUDA yang sentiasa mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan Kerajaan Perpaduan sejak kebelakangan ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Muda memaklumkan akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Presidennya, Syed Saddiq Syed menjelaskan, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.
Di negeri ini hanya ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisyah Abd Aziz yang juga Timbalan Presiden Muda satu-satunya wakil rakyat daripada parti itu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas lanjut, Kah Eng berkata, terdapat tindakan Muda yang bertentangan dengan semangat setiakawan sebelum ini termasuk meletakkan calon mereka melawan PH dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada tahun lalu.
"Tambah menyedihkan lagi, secara kasarnya presiden telah melabelkan DAP sebagai 'lapdog'," ujar ADUN Stulang itu.
Katanya, walaupun PH banyak membantu Muda sebelum ini tetapi tindakan tersebut menunjukkan mereka tidak mengenang budi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!