PJBX 2023: MBPJ sasar 10,000 pengunjung
PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sasar 10,000 pengunjung hadir memeriahkan Ekspo Buku Petaling Jaya (PJBX) 2023 yang berlangsung sejak 9 September lalu hingga 17 September depan.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan berkata, sebanyak 40 penerbit buku antaranya PTS Media, Karangkraf dan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menyertai PJBX bertempat di Dewan Sivik MBPJ dekat sini.
Menurutnya, program yang memasuki tahun ketiga itu diadakan bertujuan memberikan perkongsian ilmu secara meluas selain memupuk amalan membaca kepada warga Petaling Jaya.
"Ekspo ini menyediakan bahan ilmiah pelbagai genre yang ditawarkan dengan harga lebih murah daripada pasaran selain baucar pembelian yang disediakan oleh MBPJ.
"PJBX akan diteruskan pada tahun depan dan bakal bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Perpustakaaan Awam Negeri Selangor untuk memberikan impak lebih besar bagi kehadiran pengunjung," katanya selepas merasmikan PJBX 2023 pada Isnin.
Turut hadir, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MAPOBA), Sheikh Faisal Sheikh Mansor serta Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama, Zaihasra Hassan.
Beliau berkata, digitalisasi menyebabkan medium pembacaan kini telah beralih ke platfom atas talian namun pembacaan secara fizikal dilihat masih relevan untuk diamalkan.
"Saya yakin 80 peratus pengguna masih minat pembacaan buku berbanding medium atas talian dan aplikasi e-book disebabkan kepuasaannya tidak sama.
" Justeru MBPJ akan terus bekerjasama dengan MAPOBA untuk memperomosikan ekspo buku yang mempunyai pengikut tersendiri bagi mendapatkan bahan rujukan dan koleksi bacaan termasuk buku ilmiah, novel, buku kanak-kanak serta buku ulang kaji," katanya.
Dalam pada itu, Aznan berkata, pelbagai aktiviti disediakan sepanjang PJBX berlangsung antaranya pengisian program bersama golongan orang kurang upaya (OKU).
Ujarnya, golongan OKU disediakan slot Inclusive Talk yang merupakan kerjasama bersama Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama Khas (PPDU), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Tambahnya, seramai 100 pelajar akan menyertai slot tersebut yang akan memberikan pendedahan dan pengetahuan hala tuju anak-anak ini selepas tamat persekolah dengan bidang kemahiran bersesuaian dengan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!