Polis Sabah rampas lebih 50kg dadah bernilai RM3 juta
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Polis Sabah berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM3 juta dalam satu serbuan di sebuah kereta berhampiran balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Khamis lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, sebanyak 50.25 kilogram dadah berjaya ditemui dan tiga lelaki tempatan berusia 27 dan 38 tahun turut ditahan berada dalam kenderaan terbabit.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, rampasan itu dibuat oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
"Hasil pemeriksaan menemui 50 bungkusan hitam yang disembunyikan di bahagian kerusi penumpang belakang dan di dalamnya terdapat beberapa bungkusan plastik teh cina yang mengandungi syabu.
"Pemeriksaan lanjut pada semua plastik menemui sebanyak 50.25 kilogram dan siasatan awal mendapati syabu ini dibawa masuk dari Sarawak menggunakan jalan darat ke Tawau untuk pasaran di Indonesia," katanya dalam sidang akhbar di IPK Sabah di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata, semua suspek yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah itu ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.
"Hasil siasatan juga mendapati salah seorang suspek merupakan pemandu e-hailing dan ketua dalam sindiket ini manakala dua lagi suspek tidak bekerja.
"Ketiga-tiga mereka yang ditahan ini dipercayai terlibat dalam beberapa kali dengan aktiviti pengedaran dadah dan mereka juga sebahagian daripada rangkaian sindiket antarabangsa.
"Kita percaya dadah yang dirampas ini mampu menampung sehingga 300,000 penagih di Sabah," katanya.
Tambah Jauteh lagi, rampasan dan tangkapan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
"Turut dirampas dalam serbuan ini wang tunai pelbagai mata wang bernilai lebih RM1,000, barang kemas dan jam tangan bernilai lebih RM15,000 dengan jumlah keseluruhan lebih RM17,000," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!