Warga emas didakwa tipu RM45,000

Abu Bakar (tengah) dibawa ke kompleks Mahkamah Kuantan pagi tadi.
Abu Bakar (tengah) dibawa ke kompleks Mahkamah Kuantan pagi tadi.
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu pelaburan kelapa sawit membabitkan jumlah RM45,000 sejak tahun lalu.

Abu Bakar Maalim, 61, yang merupakan peneroka Felda Lepar Hilir sebaliknya minta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nor Azizah Aling.

Bagi pertuduhan pertama, Abu Bakar didakwa menipu seorang warga emas berusia 64 tahun di Felda Lepar Hilir Satu Gambang sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM10,000, antara jam 7 pagi hingga 11 malam, 7 April 2019.

Dia juga didakwa memperdaya mangsa sama bertempat di lokasi yang sama dengan mendorong mangsa menyerahkan RM5,000, pada jam 7 pagi hingga 11 malam sekitar Oktober, tahun lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, mangsa sekali lagi diperdaya sehingga mendorongnya menyerahkan RM30,000 sekitar waktu yang sama pada 9 Januari tahun ini.

Kesemua wang itu, kononnya bagi tujuan pelaburan penjualan hasil sawit yang tidak wujud.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Nor Azizah membenarkan Abu Bakar diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 31 Mei ini untuk pengurusan dan serahan dokumen serta lantikan peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!