Kerajaan laksana konsolidasi fiskal secara berperingkat - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Foto: Bernama
Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneruskan usaha bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran, langkah konsolidasi fiskal akan terus dilaksanakan secara berperingkat bagi membina semula ruang fiskal di samping mengurangkan paras hutang dan liabiliti kerajaan, kata Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat ruang untuk terus menambah baik strategi, tatakelola, dan kecekapan dalam pengurusan kewangan negara.

"Ini termasuk merangka strategi dan inisiatif bagi memantapkan lagi pengurusan hasil negara untuk memastikan kemampanan penjanaan hasil,” kata Anwar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC).

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata jawatankuasa itu telah meneliti unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kedudukan fiskal Kerajaan dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024.

"Dengan jangkaan kelembapan ekonomi dan perdagangan global, Malaysia juga akan turut terkesan dengan pertumbuhan ekonomi negara dijangka menyederhana namun masih sejajar dengan unjuran Kerajaan sebanyak empat peratus hingga lima peratus untuk tahun ini,” kata Anwar.

Pertumbuhan tersebut sebahagian besarnya didorong oleh permintaan dalam negeri seperti yang dicatatkan oleh pertumbuhan separuh pertama 2023 iaitu sebanyak 4.2 peratus.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan terus merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi memastikan dan mempercepat pelaksanaan semua langkah yang digariskan di bawah Belanjawan 2023 serta rangka kerja Ekonomi MADANI,

Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, cabaran luaran yang semakin meningkat akan menimbulkan pelbagai risiko kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pertumbuhan yang tidak sekata merentasi wilayah seperti Amerika Syarikat dan China, ketidaktentuan pasaran kewangan berikutan dasar monetari yang ketat, ketegangan geopolitik yang berlarutan serta perubahan iklim yang tidak menentu merupakan antara cabaran terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia, katanya.

"Walaupun kita terpaksa melakukan reformasi yang mungkin memedihkan untuk memperluas hasil negara dan menutup ketirisan daripada subsidi pukal, kita juga perlu cakna akan tantangan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global tidak menentu.

"Pendirian saya tidak pernah berganjak dalam memastikan reformasi fiskal ini tidak sama sekali membebankan rakyat yang memerlukan, malah reformasi fiskal ini masih perlu mengambil kira perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi dan pelaburan,” kata Perdana Menteri.

Justeru itu, beliau berkata, jujukan dan skop reformasi fiskal mesti dipertimbangkan supaya ia tidak membawa kejutan yang drastik kepada ekonomi mahupun rakyat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!