LKIM manfaatkan tanah terbiar bangunkan ternakan akuakultur
GEORGETOWN - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membangunkan projek akuakultur di atas tapak projek perumahan untuk nelayan di Kampung Kuala Juru.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, projek itu kini di peringkat kajian kebolehlaksanaan dan akan diteruskan sehingga projek perumahan yang dicadangkan sebelum ini mendapat kelulusan pihak berkaitan.
Menurutnya, tanah terbabit yang terbiar lebih 20 tahun lalu telah menyebabkan bebanan kewangan kepada pihak LKIM.
"Projek perumahan itu belum mendapat kelulusan jadi tanah itu terbiar sekian lama hingga menyebabkan bebanan kewangan kepada LKIM.
"Jadi kita usahakan tanah itu untuk dimajukan bagi mencapai agenda keterjaminan makanan dengan menambah bekalan akuakultur di pasaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Muhammad Faiz berkata, sehingga kini pihak LKIM belum lagi melantik mana-mana pihak untuk mengendalikan projek berkenaan di tapak terbabit.
Bagaimanapun jelasnya, kerja-kerja pembersihan yang dilakukan baru-baru ini bertujuan memudahkan kajian dilaksanakan dan ia tidak melibatkan sebarang pengorekan tanah.
"Saya tak faham kenapa projek ini menjadi isu sedangkan pihak kami telah pun berjumpa dengan unit nelayan di kawasan terbabit dan menjelaskan mengenai perancangan LKIM untuk memanfaatkan tanah itu daripada terus terbiar.
"Lagipun projek akuakultur yang akan dijalankan disyaratkan menggunakan tangki sahaja dan tidak menjejaskan struktur tanah malah dakwaan mengatakan projek ini akan menjejaskan pendapatan nelayan juga tidak tepat sebaliknya akan meningkatkan pendapatan mereka serta menambah bekalan akuakultur di pasaran,"tambahnya.
Beliau berkata, sebaik kelulusan projek perumahan yang dicadangkan sebelum ini diterima pihaknya akan menamatkan kontrak projek akuakultur terbabit untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu dijalankan.
Sebelum itu, komuniti nelayan dan penduduk Kampung Kuala Juru membantah pencerobohan tanah milik LKIM yang telah dijanjikan untuk dibangunkan perumahan nelayan sejak 25 tahun lalu.
Tindakan pencerobohan itu dikesan penduduk pada 21 dan 22 Ogos lalu selepas mendapati dua jentolak masuk ke kawasan terbabit dengan melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan seluas 10.9 hektar yang dikatakan untuk dibangunkan projek ternakan udang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!