'Kamek rasa sangat bertuah'
BINTULU - "Kamek rasa sangat bertuah,” itu antara ungkapan penduduk Rumah Panjang Raymond Plen, di sini, yang menjadi lokasi pertama keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Isnin.
Penduduk yang ditemui Bernama di rumah panjang itu melahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu secara dekat dengan Seri Paduka berdua yang buat julung kali mengadakan kunjungan ke rumah panjang berkenaan sempena Kembara Kenali Borneo, yang memasuki hari kesembilan.
Berangkat sama paduka anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.
Pada majlis meraikan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, banyak memori manis yang mungkin sukar dilupakan penduduk di situ kerana mereka dapat merasai sendiri keramahan kerabat diraja yang tidak kekok beramah mesra dengan penduduk.
Seri Paduka berdua malah berkenan meluangkan masa hampir tiga jam dan menyertai pelbagai aktiviti bersama penduduk rumah panjang yang majoritinya daripada kaum Iban.
Momen paling menghiburkan ketika Al-Sultan Abdullah berkenan mendendangkan lagu "Gadis Melayu” yang dipopularkan penyanyi Jamal Abdillah, selain turut menyanyikan "Bekikis Bulu Betis”, sebuah lagu asal kaum Iban bersama beberapa penduduk di rumah panjang itu.Lebih menggamatkan suasana di ruai rumah sepanjang 53 pintu itu, apabila Seri Paduka mengolah sedikit lirik lagu asal "Gadis Melayu” pada bahagian korus kepada "siapa bilang gadis Sarawak tak menawan” hingga diberikan sorakan gembira daripada hadirin yang tidak melepaskan peluang merakamkan video sebagai kenangan buat mereka.
Turut menambahkan keseronokan pada wajah penduduk Rumah Panjang Raymond Plen apabila mereka dapat menyaksikan sendiri kemahiran memasak Tunku Azizah yang berkenan menyediakan tiga juadah iaitu kari telur, mihun siam dan sup betik pada majlis itu.
Bercakap kepada Bernama, Slyvia Manye, 56, meluahkan rasa teruja dan gembira kerana pertama kali dapat melihat sendiri Raja Permaisuri yang tidak kekok memasak.
"Selama ini hanya nampak Raja Permaisuri (memasak) dalam televisyen sahaja...rasanya bukan saya seorang sahaja tetapi semua penduduk di Sebauh, Bintulu ini gembira sebab dapat bertemu dengan Tuanku secara langsung,” kata penduduk di Rumah Panjang Raymond Plen itu.
Lulie Obu, 50, pula berasa sangat bertuah kerana dapat membuat demonstrasi memasak kuih tradisi kaum Iban iaitu kuih ros bagi meraikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri."Saya rasa sangat gembira sebab bukannya selalu dapat buat begini. Saya sebenarnya sudah lama menetap di Kota Damansara, Kuala Lumpur dan sanggup terbang ke kampung untuk mengambil peluang bertemu Tuanku berdua,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Wanita Rumah Panjang Raymond Plen Ensuna Bujang memuji keperibadian Seri Paduka berdua serta keluarga diraja yang amat mesra rakyat.
"Saya rasa sangat gembira bercampur sedih sebab ini kali pertama saya dapat berjumpa Tuanku sekeluarga. Rasa sedih pula kerana tak tahu bila akan dapat peluang macam ini lagi,” kata wanita berusia 58 tahun itu.
Keluarga diraja turut mendapat kejutan daripada penduduk rumah panjang berkenaan apabila mereka menyediakan dua biji kek tertera "Happy Birthday” bagi meraikan ulang tahun ke-23 keputeraan Tengku Ahmad Ismail yang kebetulan jatuh pada hari ini.
Kembara Kenali Borneo untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah pada 7 September lepas, sebelum memasuki Sarawak melalui Brunei.
Penjelajahan sejak 3 hingga 13 September itu, yang bermula dari Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano di selatan Sarawak, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!