Misteri 'telur emas' di dasar Teluk Alaska

Ia berdiameter lebih 10 sentimeter dan terdapat koyakan kecil pada hujungnya. - Foto Agensi
Ia berdiameter lebih 10 sentimeter dan terdapat koyakan kecil pada hujungnya. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Saintis Amerika Syarikat (AS) telah menemui spesimen misteri di dasar Lautan Pasifik.

Penemuan objek aneh di atas batu pada kedalaman kira-kira 3,300 meter di Teluk Alaska itu dibuat menggunakan kenderaan tinjau jarak jauh pada bulan lalu.

“Ia berdiameter lebih 10 sentimeter dan terdapat koyakan kecil pada hujungnya. Saintis bingung kerana tidak dapat mengenal pasti jenis objek itu walaupun setelah kamera dizum masuk.

“Mereka akhirnya mengaitkan spesimen itu dengan imej yang dipaparkan menerusi kisah dongeng iaitu telur emas,” menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) dalam satu kenyataan.

Pelbagai teori kemudiannya membanjiri media sosial termasuk digelar sebagai 'telur makhluk asing'.

“Kami sudah mengambil spesimen itu untuk dianalisis di makmal setelah gagal mengenal pasti asal atau jenis biologinya,” ujar NOAA lagi.

Difahamkan, projek itu adalah sebahagian daripada ekspedisi di Teluk Alaska bertujuan untuk mengkaji habitat laut dalam. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!