Juara dunia sambar ganjaran RM80,000
GANDINGAN Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi memperoleh 'durian runtuh' berjumlah RM80,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Nabilah dan Aleena masing-masing meraih insentif bernilai RM40,000 atas kejayaan mereka memenangi pingat emas acara pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Dunia 2023 di Gold Coast, Australia baru-baru ini.
Berita gembira itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam sidang akhbar menyambut kepulangan skuad boling padang negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) petang tadi.
"Jumlah Shakam adalah RM80,000 (pingat emas Kejohanan Dunia), jadi untuk Ain (Nabilah) dan Aleena RM40,000 setiap seorang. Harap dengan insentif Shakam ini dapat mendorong mereka untuk terus cemerlang," katanya.
Kejayaan Nabilah, 25, dan Aleena, 24, itu menamatkan penantian 15 tahun Malaysia memenangi pingat emas Kejohanan Dunia sejak dilakukan Safuan Said pada edisi 2008 di Christchurch, New Zealand.
"Saya memang tahu layak menerima Shakam apabila memenangi Kejohanan Dunia tetapi saya tak jangka ia seawal ini walaupun saya sudah 10 tahun dalam sukan ini.
"Ini impian kami untuk menjadi juara dunia. Selepas ini cabaran kami lebih sukar untuk mempertahankan gelaran ini," jelas Nabilah.
Turut meraih ganjaran Shakam ialah Idham Amin Ramlee dan Izzat Dzulkeplee yang masing-masing menerima RM10,000 atas kejayaan mereka memenangi pingat gangsa pairs lelaki pada Kejohanan Dunia tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!