Masa kami untuk muncul juara belum tiba - Aaron
TIADA istilah putus asa buat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk terus memburu gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas kalah dalam aksi final Terbuka China pada Ahad.
Mereka kalah straight set kepada gandingan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 14-21 dalam tempoh 26 minit permainan di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Bagaimanapun, aksi kurang bertenaga beregu negara itu disebabkan Wooi Yik mengalami demam panas malam sebelum perlawanan sekali gus menyaksikannya mereka beraksi di bawah prestasi sebenar.
Aaron bagaimanapun optimis masa akan tiba untuk bangkit meraih gelaran sambil mengakui kekalahan tersebut menjadi pengajaran berguna buat mereka.
“Mereka mungkin menewaskan kami tetapi sebenarnya kami tewas kepada diri sendiri. Kami melakukan banyak kesilapan. Sudah tentu ini adalah peluang terbaik untuk kami kerana masih dahagakan kejuaraan kali pertama.
“Sudah beberapa kali kami melangkah ke final tetapi masih tidak dapat meraihnya (gelaran sulung) lagi. Tapi kami tahu satu hari nanti kami akan dapat melakukannya dan belum masanya sekarang,” ujar Aaron menerusi kenyataan BWF.
Sebagai rekod, ia adalah kekalahan kelima Aaron-Wooi Yik daripada enam pertemuan di tangan pasangan China itu yang turut mengecewakan mereka pada final Terbuka India, Januari lalu.
Selaku juara, Wei Keng-Wang Chang membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM692,122) manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$70,000 (RM327,355).
“Kami masih berada pada prestasi terbaik dan sekarang mahu fokus kepada persediaan untuk menghadapi Terbuka Hong Kong pula,” ujar Aaron.
Mereka akan menentang rakan sepasukan, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!