Lapan laporan polis kes individu menyamar kenalan
ISKANDAR PUTERI - Sebanyak lapan laporan polis diterima berhubung kes individu menyamar sebagai kenalan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri tahun ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemuanya telah dibuka kertas siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil.
"Kita telah mengambil inisiatif menguar-uarkan melalui Facebook bahawa setiap masyarakat perlu berhati-hati dengan sindiket yang menyamar sebagai kenalan dan meminta untuk dipinjamkan wang.
"Sedangkan rakan sebenar tidak tahu berkenaan kes tersebut. Semua dalam siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stor Barang Kes, Balai Polis Gelang Patah di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah menyamar sebagai kenalan dan menghubungi mangsa dan meminta diberikan pinjaman wang.
"Mangsa yang naif terus percaya dan memasukkan wang diminta kepada akaun bank individu yang tidak dikenali. Sindiket menghubungi mangsa menerusi pesanan ringkas, WhatsApp atau panggilan telefon," katanya.
Semalam, IPD Iskandar Puteri menerusi Facebook rasminya telah berkongsi ingatan kepada orang ramai berkaitan sindiket penipuan menyampar sebagai kenalan.
Ingatan tersebut berikutan sejak kebelangan ini, semakin banyak kes individu menyamar sebagai kenalan telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengabaikan jika menerima pesanan ringkas, WhatsApp atau panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali dan mengaku sebagai rakan anda serta meminta wang.
Selain itu, orang ramai juga diingatkan agar mengambil tindakan bijak dengan cuba hubungi rakan untuk membuat pengesahan terlebih dahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!