Kerajaan Perpaduan bakal dibentuk di Johor?
PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan membuka tirainya pada Khamis ini, dijangka menjadi tumpuan selepas pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berakhir pada Sabtu lalu.
Secara rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kaiat menang di Parlimen Pulai dan Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram.
Sudah tentu, Nazri akan menjadi perhatian pada sidang DUN kali ini kerana berjaya mengekalkan satu- satunya kerusi Amanah yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
PH pula memenangi 13 kerusi iaitu DAP (10 kerusi), PKR, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.
Diikuti Perikatan Nasional (3 kerusi) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 2 kerusi dan Pas (satu kerusi).
Meskipun tidak mengubah penguasaan BN yang mempunyai majoriti selesa di DUN Johor, namun timbul persoalan berhubung kerjasama bersama PH sebagaimana yang ditunjukkan pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
Gabungan PH-BN bukan setakat jentera PRK tetapi turut menyaksikan pemimpin tertinggi termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang meyakinkan pengundi tegar UMNO dan BN untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan.
Begitu juga ketua-ketua UMNO Bahagian yang turun membantu kempen PRK, antaranya Timbalan Speaker Dewan Negara yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Sejarah perseteruan antara PH dan BN agak panjang tambahan pula Johor cukup dikenali sebagai kubu kuat UMNO dan menguasai kerusi DUN sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pada PRU14, buat pertama kalinya BN tumbang kepada PH yang berjaya memperoleh 36 kerusi DUN berbanding BN (19 kerusi) dan Pas hanya satu kerusi.
Kemudian pada Februari 2020, situasi politik Johor berubah lagi apabila Bersatu bertindak keluar PH dan membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama dengan Muafakat Nasional (MN) di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Bagaimanapun kemenangan pada kedua-dua PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menunjukkan penerimaan rakyat Johor terhadap kerjasama PH- BN yang cukup baik.
Di DUN Johor, walaupun tidak duduk di blok yang sama, tetapi gelaran ‘pengimbang’ yang lebih mesra berbanding ‘pembangkang’ digunakan selepas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim bertitah pada Mac lalu, peranan pembangkang bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata, maka lebih sesuai istilah 'pengimbang' digunakan berikutan peranan mereka bagi memeriksa kerajaan.
Jun lalu, Salahuddin selaku Pengerusi PH Johor ketika itu, dilaporkan berkata, PH Johor tidak akan menuntut jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Negeri walaupun gabungan PH dan BN sudah dijalin di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, rundingan akan dibuat membabitkan agihan jawatan peringkat akar umbi negeri supaya turut membabitkan wakil PH bagi memastikan ADUN PH diberi peluang menyumbang dalam pembangunan negeri ini.
Johor kini memiliki 10 Exco Kerajaan Negeri yang menyandang pelbagai portfolio iaitu tujuh ADUN daripada BN, dua (MCA) dan satu (MIC). Sudah tentu, PH dan BN wajar berbincang serta bermuafakat bagi menentukan kedudukan wakil PH dalam barisan Exco Kerajaan Negeri pada masa kini.
Namun, kemasukan ADUN PH dalam barisan Exco kerajaan negeri perlu diserahkan kepada kebijaksanaan pimpinan peringkat negeri untuk diputuskan.
Semangat perpaduan dan kerjasama antara PH dan BN negeri itu sudah mula terjalin membabitkan isu masyarakat setempat dan tidak salah sekiranya kemasukan ADUN PH dalam barisan Exco Kerajaan Negeri ini akan membawa keuntungan.
ADUN PH juga dilihat mempunyai pengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri seperti ADUN Johor Jaya, Liow Chai Tung yang merupakan bekas Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Selain itu dari segi kelayakan Nazri yang merupakan jurutera mungkin boleh dipilih sebagai seorang Exco kerajaan negeri kelak.
*Nor Azura Md Amin ialah Wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!