Umat Islam perlu berhati-hati pilih makanan, minuman - Mufti

Tular di media sosial sebuah kedai nasi ayam claypot diusahakan pasangan suami isteri didakwa menggunakan alkohol jenis rice wine dalam penyediaan makanan tersebut. Gambar kecil: Wan Salim
Tular di media sosial sebuah kedai nasi ayam claypot diusahakan pasangan suami isteri didakwa menggunakan alkohol jenis rice wine dalam penyediaan makanan tersebut. Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Masyarakat Islam dinasihatkan lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan dan minuman terutama dijual di premis makanan supaya tidak melanggar hukum syarak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam melarang penganutnya meminum minuman memabukkan dan makanan tidak halal.

“Saya bersetuju dengan pihak yang menekankan bahawa masyarakat Islam perlu berhati-hati dalam hal ehwal berkaitan makan dan minum. Mereka juga perlu cakna apa boleh dimakan dan diminum berdasarkan hukum.

“ALLAH SWT melarang seorang Muslim meminum segala minuman memabukkan. Hukumnya sama dengan arak menerusi nas-nas al-Quran dan hadis.

“Justeru, setiap Muslim tidak wajar menjamah makanan atau minuman di mana-mana restoran atau premis yang tidak mempunyai sijil halal dikeluarkan pihak berkuasa agama di negara ini iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah beliau, pihak berwajib perlu memberi penerangan mengenai hukum membabitkan bahan memabukkan.

“Mana-mana orang Islam yang memakan atau meminum bahan memabukkan akan dikenakan hukuman mengikut peruntukan sedia ada dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri.

“Saya cadangkan mana-mana premis menyajikan arak dan apa juga bahan memabukkan hendaklah memaparkan notis menyatakan bahawa orang Islam tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Salim menambah, umat Islam perlu tahu jenis tuak yang haram tidak termasuk tuak yang menjadi minuman tradisional dalam kalangan masyarakat Islam di Kelantan dan Terengganu.

“Minuman ini dipanggil nira di negeri barat Semenanjung.

“Bagaimanapun, tuak yang sering diminum masyarakat Dayak di Sarawak adalah haram diminum oleh orang Islam,” katanya.

Sebelum ini, tular premis diusahakan suami isteri Muslim di Sri Petaling, Selangor, dikunjungi orang ramai termasuk beragama Islam, namun pendedahan beberapa individu mengenai bahan didakwa tidak halal digunakan pasangan itu meragukan masyarakat.

Premis makanan itu dikatakan menggunakan rice wine atau wain beras dalam masakan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Islam yang pernah mengunjungi premis berkenaan.

Susulan itu, Jakim dalam kenyataan di Facebooknya mengesahkan bahawa premis nasi ayam claypot diusahakan pasangan terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berdasarkan semakan menerusi Portal Halal Malaysia.

Jakim turut mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis terbabit.

Difahamkan, premis itu sudah ditutup sementara waktu susulan penularan isu berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!