Jaga isteri terlantar, warga emas hilang punca pendapatan

Sebelum ini, mereka bergantung harap kepada Idawati (kanan), namun akibat masalah kesihatan yang ditanggung, dia juga tidak dapat keluar bekerja kerana menjalani dialisis tiga kali seminggu selain menghidap penyakit lain.
Sebelum ini, mereka bergantung harap kepada Idawati (kanan), namun akibat masalah kesihatan yang ditanggung, dia juga tidak dapat keluar bekerja kerana menjalani dialisis tiga kali seminggu selain menghidap penyakit lain.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang warga emas hilang punca pendapatan setelah tidak mampu keluar bekerja kerana perlu menguruskan isteri yang terlantar.

Mahat Hashim, 70, dari Taman Sutera Jaya di sini berkata, keadaan isteri, Santariyah Bakar, 65, yang menghidap sakit tulang rawan tergelincir sejak 2013 semakin kronik pada tahun ini apabila terpaksa menggunakan kerusi roda untuk sebarang pergerakan.

Menurutnya, masa isteri lebih banyak dihabiskan dengan berbaring di ruang tamu dan perlu dibantu sekiranya mahu ke tandas selain tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.

"Sudah beberapa tahun dia tidak keluar rumah (bersiar-siar), pernah ada ketika dia minta nak tengok langit dan bintang, saya letak dan baringkan di luar rumah seketika bagi mengurangkan tekanan dengan harapan tidurnya lena.

"Penyakitnya boleh menyerang pada bila-bila masa dan tahap kesakitan pula tidak sama. Disebabkan itu dia perlukan seseorang untuk menguruskan penjagaan diri dan kerja rumah," katanya.

Walaupun dalam keadaan tidak berdaya, Mahat sentiasa memastikan rumah sewa mereka dalam keadaan bersih kerana mementingkan keselesaan Santariyah.
Walaupun dalam keadaan tidak berdaya, Mahat sentiasa memastikan rumah sewa mereka dalam keadaan bersih kerana mementingkan keselesaan Santariyah.

Jelas Mahat, Santariyah yang dahulunya merupakan pengusaha kantin kilang pernah disyorkan untuk melakukan pembedahan, namun disebabkan faktor kewangan dan usia, menyebabkan ia tidak dapat dilakukan.

"Setakat ini, isteri hanya bergantung kepada ubat tahan sakit untuk mengurangkan kesakitan yang dihadapi.

Artikel Berkaitan:

"Saya sedih melihat keadaannya yang mengerang kesakitan jika penyakitnya datang," jelasnya.

Mahat menjelaskan, mereka terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk perbelanjaan harian, sewa rumah berjumlah RM350 serta bayaran tunggakan bil utiliti serta lain-lain.

Menurut Santariyah, anaknya, Idawati Taharim, 44, sebelum ini ada membantu mereka suami isteri, namun setelah disahkan menghidap sakit buah pinggang sehingga memerlukan rawatan dialisis, dia juga tidak mampu lagi bekerja.

Kesemua mereka hanya bergantung kepada hasil jualan kebab yang diusahakan suami Idawati, Karim Mohamed, 39, di rumah mereka dekat Bandar Puteri Jaya di sini.

Idawati juga dipercayai sedang menerima rawatan sebagai pesakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan jantung menyebabkan dia juga tidak mampu melakukan kerja-kerja berat.

Dia mengakui sedang dalam proses untuk membuat permohonan bantuan dari agensi berkaitan kerana dikatakan pernah beberapa kali menangguhkan pembedahan akibat masalah kewangan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Santariyah Bakar bernombor 020200-2050-8962.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!