Rasuah jejaskan kepercayaan rakyat
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rasuah melibatkan penjawat awam bukan sahaja memberi persepsi buruk malah boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap imej mereka dan kerajaan.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, penjawat awam yang terjerumus dalam budaya tidak sihat itu kerana mementingkan diri sendiri akibat mengejar keuntungan jangka pendek tanpa memikirkan kesan kepada banyak pihak.
Akibat rasuah, katanya, perkembangan ekonomi negara boleh terbantut.
“Misalnya kos untuk melakukan projek pembangunan akan menjadi lebih mahal disebabkan terpaksa ambil kira kos lain dalam pelaksanaan projek berkaitan.
“Sehinggakan ia mungkin menyebabkan ada projek yang terbengkalai atau tertangguh,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas kes seorang penjawat awam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM45,000 pada Khamis lalu.
Tambah Zairudin, rasuah turut berupaya melumpuhkan kewibawaan dan kestabilan ekonomi.
“Gejala ini akan terus merebak dan membawa pelbagai kesan negatif, jadi ia perlu dibanteras sejak awal lagi bagi mengembalikan keyakinan pelabur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!