'Tanam, jual 25 jenis sayur RM1 seikat'

Alif Dzulfarhan menunjukkan sayur yang baru dipetiknya dari ladangnya.
Alif Dzulfarhan menunjukkan sayur yang baru dipetiknya dari ladangnya.
A
A
A

JEMPOL - Sebuah keluarga yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran di Kampung Bukit Kerdas di sini menjual sayur berkenaan dengan harga RM1, seikat atau 250 hingga 300 gram.

Lebih menarik terdapat 25 jenis sayuran antaranya bayam merah, bendi, kangkung, dan kacang panjang termasuk tanaman utamanya maman ditanam di tanah seluas lapan hektar yang dipajak sejak 10 tahun lalu.

Pengusahanya, Alif Dzulfarhan Mohamad Shaharudin, 33 berkata, dia mengusahakan tanaman itu bersama dua lagi adiknya, Afiq Dzulalfian, 31 dan Azriq Dzulfiqri, 23 dibantu bapanya Mohamad Shaharudin Nordin, 60.

Alif Dzulfarhan (kanan) dan Mohamad Shaharudin (dua kanan) ketika berada di ladang sayurnya di Kampung Bukit Kerdas, Jempol.
Alif Dzulfarhan (kanan) dan Mohamad Shaharudin (dua kanan) ketika berada di ladang sayurnya di Kampung Bukit Kerdas, Jempol.

"Jualan sayur RM1 seikat ini sebenarnya sudah lama kami laksanakan iaitu sekitar enam tahun lalu semasa berniaga di pasar tani.

"Bagaimanapun, harga berkenaan hanya bertahan dalam tempoh satu tahun lebih sahaja berikutan harga itu didakwa merugikan peniaga lain di situ kerana kebanyakan peniaga pun mengambil bekalan sayur daripada kami," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, disebabkan keadaan tersebut mereka mengambil keputusan melakukan jualan terus dari ladang sebelum memulakan semula strategi sama dengan menyertai Jualan Negeri Sembilan Prihatin atau Jualan Rahmah Negeri Sembilan sekitar tiga bulan lepas.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Shaharudin
Mohamad Shaharudin

Dalam pada itu, Mohamad Shaharudin berkata, bersyukur apabila ia mendapat sambutan berbanding pada peringkat awal perniagaan.

Katanya, ramai pemborong datang termasuklah dari Klang,Selangor untuk mendapatkan sayur-sayuran tetapi terpaksa menolakkan berikutan bekalan tidak mencukupi.

"Kami menggunakan konsep 'one stop center' supaya pembeli, pemborong mahupun usahawan tani dapat sayur di satu tempat atau ladang yang ada pelbagai jenis.

"Selaras dengan itu, kami menawarkan beberapa pakej kepada pemborong ataupun penjual supaya lebih mudah iaitu pakej junior lima kilogram sayur, pekej senior (10 kilogram sayur) dan pakej otai (20 kilogram sayur) dengan modal antara RM95 hingga RM360.

"Mereka boleh memperolehi keuntungan sehingga RM600 sekali gus membantu menjana pendapatan,aliran wang tunai tidak putus selain menjimatkan wang pembeli," katanya.

Alif Dzulfarhan menunjukkan sayur kacang segar dari ladangnya.
Alif Dzulfarhan menunjukkan sayur kacang segar dari ladangnya.

Selain itu katanya, dengan strategi berkenaan, jadual penanaman sayurnya juga lebih teratur, konsisten malah pemborong dan pembeli akan dapat sayur segar setiap hari.

"Maka tidaklah kami tanam sayur banyak tetapi tidak boleh jual dan ketika ini pula kami akan mengadakan jualan subuh di masjid-masjid sekitar Jempol dan Seremban, lebih mudah untuk penduduk mendapatkan bekalan sayur-sayuran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!