'Basikal antik ada harga, ramai peminat'

Mohd Hafizal dan Nurul Adilah menunjukkan basikal antik tahun 1940-an.
Mohd Hafizal dan Nurul Adilah menunjukkan basikal antik tahun 1940-an.
A
A
A

TUMPAT - Minat yang mendalam terhadap kenderaan antik terutama basikal dan beca memberi pulangan berbaloi kepada seorang mekanik, Mohd Hafizal Mohd Fauzi, 42.

Mohd Hafizal mula membeli basikal antik ketika negara berdepan pandemik Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu selepas tidak dapat meneruskan kerja-kerja membaiki kenderaan.

Dalam tempoh itu, bapa kepada empat anak itu membeli dan menjual lapan basikal antik pelbagai jenama popular termasuk Raleigh, Humber, Herculas, BSA dan Robinhood.

"Kebanyakan basikal yang saya beli tidak sempurna dan perlu dibaiki semula namun cabarannya ialah kesukaran mendapatkan alat ganti sesuai kerana tidak dijual di kedai," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Menjual Wakaf Bharu di sini," katanya.

Bagaimanapun Mohd Hafizal berkata, dia berusaha dengan bertanya di platform media sosial seperti Facebook untuk mendapatkan barangan berkenaan.

Mohd Hafizal menunjukkan pelana basikal diperbuat daripada kulit yang dipasang di basikal jenama Raleigh miliknya.
Mohd Hafizal menunjukkan pelana basikal diperbuat daripada kulit yang dipasang di basikal jenama Raleigh miliknya.

Katanya, alat ganti kebanyakannya dibeli daripada pengumpul barangan antik di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor tetapi harganya lebih mahal.

Jelasnya, harga basikal yang dijual semula bergantung kepada pembelian alat ganti dan proses pembaikan tetapi boleh mencecah antara RM500 hingga lebih RM2,500.

Artikel Berkaitan:

"Kini saya ada lima basikal model tahun 1940-an ketika Jepun menyerang Tanah Melayu dan paling istimewa jenama Raleigh dari England yang masih menggunakan pelana asal," katanya.

Mohd Hafizal berkata, ramai peminat barangan dan kenderaan antik mencari basikal lama yang boleh dijadikan koleksi kerana mempunyai nilai estetika tersendiri.

Selain itu, Mohd Hafizal turut memiliki sebuah kereta Datsun 1600 yang dibeli dua tahun lalu pada harga RM6,500 dan pernah ditawarkan pada harga RM30,000.

"Saya juga ada sebuah pikap keluaran tahun 1969 yang boleh mencecah harga RM20,000," katanya.

Menurut Mohd Hafizal, pada mulanya isteri, Nurul Adilah Mat Ripin, 39, menghalang minatnya kerana beranggapan hobinya itu satu pembaziran terutama ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mungkin dia memikirkan ketika itu kami perlu berjimat kerana bengkel saya terpaksa ditutup sementara waktu tetapi Alhamdulillah usaha saya mendapat manfaat sekeluarga.

"Anak-anak juga menyokong minat saya manakala isteri memberi kepercayaan untuk meneruskan hobi ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!