Suri rumah tangkap ikan pari seberat 5 kg
KUALA NERUS - [DIKEMASKINI] Seorang pemancing yang juga suri rumah, mencatat rekod peribadi tersendiri Ramadan kali ini apabila menaikkan ikan pari seberat lima kilogram (kg) di Pantai Sarang Laba, Seberang Takir di sini.
Nornazaitul Shima Md Noor, 33, berkata, selama enam tahun menjadi pemancing, pari itu adalah tangkapan terbesarnya.
"Minat memancing ini bermula kira-kira enam tahun lepas sebab saya selalu ikut suami keluar memancing di kolam. Dari situlah saya mula jatuh cinta dengan aktiviti memancing.
"Pari ini merupakan ikan paling besar yang berjaya saya tangkap di pantai dan sebelum ini saya juga pernah daratkan ikan tongsan seberat 13 kg ketika mengail di kolam," katanya hari ini.
Kawasan pantai dan benteng pemecah ombak di sekitar Seberang Takir sememangnya terkenal sebagai lubuk pelbagai jenis ikan dan kini menjadi tumpuan kaki pancing sepanjang Ramadan ini.
Nornazaitul berkata, hobi itu menjadi lebih bermakna baginya kerana mendapat sokongan penuh suami, Juzaili Alwee, 43, apabila dia turut ‘turun padang’ menemaninya memancing ikan.
Menurutnya, cakaplah lubuk ikan mana yang ada di kawasan pantai Seberang Takir, mahupun pulau dan di tengah lautan semuanya sudah pernah dijejaki ibu kepada tiga orang cahaya mata itu bersama suaminya.
“Sebenarnya perkara baik mengenai aktiviti ini ialah ia mengajar erti sabar, tak mudah putus asa dan bersyukur dengan rezeki ALLAH. Maklumlah kadangkala dapat hasil dan sebaliknya.
"Saat paling mengujakan adalah ketika ikan mula ragut umpan. Masa tu memang rasa hilang semua masalah. Memancing memberi saya ketenangan jiwa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!