Lebih 600 polis bertugas sepanjang tempoh PRK Pelangai
KUANTAN - Dianggarkan lebih 600 pegawai dan anggota polis Pahang akan terlibat dalam penugasan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Polis Pahang akan mengguna semua kekuatan sedia ada untuk menghadapi PRK tersebut.
Menurutnya, kekuatan keanggotaan sedia ada memadai dan tidak melibatkan bantuan kontinjen luar kecuali jika ada keperluan berkaitan hal-hal teknikal.
"Polis Pahang telah bersiap sedia untuk menghadapi PRK DUN Pelangai bermula pada hari penamaan calon pada 23 September ini, tempoh kempen, undi awal hingga hari pengundian yang ditetapkan pada 7 Oktober depan.
"Anggota dan pegawai terlibat telah menjalani beberapa siri latihan persediaan bagi memastikan proses pilihan raya kecil itu berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang dan Pelepasan Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, bilik gerakan bagi PRK itu akan dibuka dua hari sebelum hari penamaan calon.
"Dari segi keselamatan, pihak polis yakin proses pilihan raya kecil itu akan berjalan dengan baik, lancar dan aman tanpa eksiden luar biasa berdasarkan situasi di kawasan itu pada pilihan raya yang lalu.
"Bagaimapun, pemantauan akan dilakukan bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan pilihan raya yang ditetapkan termasuk tidak menyentuh isu melibatkan 3R (agama, kaum dan raja)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!