'Tangan kiri lawan rasuah, tangan kanan bela rasuah' - Syed Saddiq
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kerajaan pada hari ini sebagai hiprokrit ekoran tidak membanteras rasuah seperti yang dijanjikan.
Malah beliau berkata, ahli Parlimen pembangkang dilabel sebagai 'bersangka jahat' terhadap kerajaan sekiranya membangkitkan isu pembebasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk).
"Ini kerana realitinya adalah pembohongan terbesar peringkat nasional, sebelum (ini) kata nak lawan rasuah, tidak akan gugurkan kes (rasuah), akan penjarakan kleptokrat, (tetapi) hari ini membebaskan mereka.
"Tangan kiri lawan rasuah, tangan kanan bela rasuah. Kalau kita (ahli Parlimen) dalam dewan ini dibisukan mulut, tidak boleh mengkritik kerajaan tanpa sangka jahat, bagaimana kita ingin bicara soal rakyat.
"Sedangkan pada tahun 2015, 70 ahli Parlimen dalam dewan ini di blok Pembangkang ingin bicarakan soal keputusan hakim di mahkamah, sebelum ini keputusan 1MDB, serangan ke atas peguam negara, semua boleh dibangkitkan.
"Kini apabila di kedudukan kerajaan, hipokrit," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika bangkit mencelah Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menarik balik tuduhan 'kerajaan penipu' ekoran tidak dibenarkan membangkitkan usul tergempar pembangkang.
Sehubungan itu, Syed Saddiq menyangkal tuduhan Tze Tzim dengan memberi penerangan berkaitan peraturan mesyuarat yang dibangkitkannya.
"Peraturan 36 (6) menyatakan seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain.
"Kita tidak menujukan kritikan ke atas seorang ahli, tetapi ke atas kerajaan secara keseluruhan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!