'BBQ boleh asalkan ada alas' - MPPD
PORT DICKSON - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPDD) telah meletakkan papan tanda mengenai peraturan ketika menjalankan aktiviti riadah sepanjang berada di pantai-pantai awam daerah ini.
Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd Esa berkata, ia termasuklah aktiviti membakar ataupun barbeku (BBQ) semasa berkhemah dan bermalam di lokasi berkenaan.
"Barbeku boleh cuma perlu ada alas bukan di atas pasir ataupun landskap sebab kita tidak mahu insiden tidak diingini berlaku seperti kes-kes sebelum ini.
"Ia berikutan ada pengunjung yang cedera terpijak bara api yang ditinggalkan oleh pengunjung lain di pantai," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini seorang pengunjung berkongsi pengalamannya di laman Facebook ketika berkhemah di pantai Port Dickson telah dikenakan kompaun RM1,000 oleh MPPD, namun tidak dinyatakan tarikh dan masa kompaun itu dikeluarkan.
Dia meminta pandangan daripada ahli laman tersebut berhubung peraturan yang perlu diambil perhatian dalam menjalankan aktiviti di tempat terbuka seperti di pantai Port Dickson.
"Saya newbie nk (nak) share pengalaman 1st time camping kena saman RM1,000 dengan majlis perbandaran atas kesalahan ada bara api, kami tengah bbq.
"Lokasi Port Dickson, boleh kawan-kawan share apa lagi yang tak boleh masa camping tempat terbuka mcm (macam) ni (ini)?" tulisnya dengan memuat naik gambar di lokasi berserta emoji menangis.
Mengulas hantaran tersebut, Zamri berkata, pengunjung berkenaan boleh membuat rayuan pengurangan jumlah kompaun di MPPD.
Dalam pada itu, Zamri turut mengingatkan kepada orang ramai apabila selesai berkhemah mereka perlu mengemas kembali termasuk selepas membuat aktiviti barbeku.
"Ya, sepatutnya arang yang digunakan perlu dibuang supaya ia tidak menimbulkan kesulitan kepada pengunjung yang lain ataupun landskap sekitar seperti pokok kerana ada pangkal pokok terkena bara api menyebabkan pokok itu mati dan terpaksa dipotong," katanya.
Ujarnya, selain itu orang ramai juga dilarang memandu kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), kereta atau motosikal di pantai, membuang sampah merata-rata, membawa haiwan peliharaan seperti anjing dan melakukan vandalisme di kawasan pantai bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!