'Hampir mahu berbuka kali pertama puasa'
KUANTAN - Seorang mualaf mengaku hampir mahu berbuka kerana penat dan dahaga sewaktu kali pertama menunaikan ibadah puasa.
Azlin Jamaludin, 17, berkata, namun dia tetap kuatkan semangat untuk meneruskan puasanya sehingga tiba waktu berbuka selepas adiknya, Zairyen,15, memberi sokongan.
Menurutnya, rakan-rakan dan guru juga memberi galakan dan semangat sehingga akhirnya perasaan penat itu hilang.
“Kalau adik, ustazah dan kawan-kawan tak bagi sokongan, mesti saya dah berbuka.
“Kali pertama puasa saya mengaku banyak dugaan, tapi semangat mereka buat saya bertahan,” katanya ketika ditemui Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) di Indera Mahkota, hari ini.
Dia yang kini sedang belajar di Petama berkata, selepas beberapa hari berpuasa semakin selesa dan rasa dahaga serta lapar sudah mula diterima.
Katanya, malah keadaan seronok mula terasa terutamanya bila berkumpul beramai-ramai sewaktu berbuka.
“Sewaktu berbuka saya akan memilih makanan kegemaran iaitu makan karipap dan kuih lapis.
“Selepas solat maghrib secara berjemaah nasi menjadi hidangan wajib yang dimakan dalam talam dan ini cukup menyeronokkan,” katanya.
Azlin yang berasal dari Kampung Rakoh, Pos Linjan, Lipis berkata, ibu dan bapanya sudah lama memeluk Islam, kini hanya tiga abangnya yang masih belum mendapat hidayah.
Katanya, Ramadan kali ini memberi peluang terbaik kepadanya untuk berdoa supaya suatu hari nanti tiga abang yang masih menganut kepercayaan nenek moyang dapat mengikut jejak mereka.
Ajai Amran, 22, yang berasal dari Kampung Paya Rekoh, Temerloh pula berkata, kali pertama puasa ia tidak banyak menimbulkan masalah kepadanya.
Katanya, sebelum ini dia pernah berpuasa kerana mengikut rakan yang beragama Islam namun ibadah puasa kali ini berbeza kerana dirinya sudah berstatus Muslim.
“Saya lafaz syahadah lima bulan lepas sebelum diterima belajar di Petama dan Ramadan kali ini memang istimewa.
“Saya bersyukur impian memeluk Islam dan belajar di Petama dah jadi kenyataan. Lepas ni saya nak jadi pendakwah yang akan mengajar agama kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pendalaman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!