United intai kelibat pemain Belanda
MANCHESTER United mengintai peluang untuk mengikat pemain sayap Belanda, Anwar El Ghazi susulan kontroversi melibatkan Antony dan Jadon Sancho.
Pemain berusia 28 tahun itu meninggalkan PSV Eindhoven minggu lalu dan boleh menyertai United di luar jendela perpindahan.
El Ghazi yang pernah menyarung jersi Ajax, Aston Villa dan Everton berada di Stadium Emirates ketika United tewas 1-3 kepada Arsenal awal bulan ini.
Dilaporkan El Ghazi turut menerima tawaran daripada kelab-kelab Arab Saudi, tetapi The Red Devils berupaya memberi peluang kepadanya untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bos United, Erik ten Hag berdepan kemelut di bahagian sayap selepas Antony diarah bercuti sehingga siasatan dakwaan dia menyerang tiga orang wanita selesai.
Masa depan Sancho di Old Trafford pula diragui susulan 'perang mulutnya' dengan Ten Hag.
Mereka bertemu empat mata pada Isnin selepas pemain terbabit melabelkan pengendali itu sebagai penipu kerana mendakwa dia digugurkan untuk aksi menentang Arsenal kerana tidak berlatih dengan baik.
United bergelut untuk melepaskan Sancho sebelum jendela perpindahan Januari, selepas pemain 23 tahun itu tidak jadi dipinjamkan ke kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq minggu lalu.
Status Antony pula masih menjadi teka-teki selepas pemain Brazil itu dalam usaha untuk membersihkan namanya daripada tuduhan serangan ke atas tiga wanita termasuk teman wanitanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!