Pencapaian PM tingkat tata kelola hapus ketirisan, pembaziran
SHAH ALAM - Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan agenda meningkatkan tata kelola di negara ini dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran kian menampakkan hasilnya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beberapa langkah drastik telah diambil di bawah pentadbiran Anwar dan Kerajaan Perpaduan dalam memacu agenda berkenaan dan beberapa pencapaian telah dicapai.
Jelasnya, antaranya berhubung tata kelola pemberian kontrak dan tender daripada kerajaan.
"Perdana Menteri sangat tegas dalam perkara ini, beliau arahkan pemberian ini mesti melalui tender terbuka, dan dari segi pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), beliau putuskan hanya golongan yang layak dan bermerit dilantik.
"Selain itu, beliau juga dari segi aspek tata kelola mencegah ketirisan dan rasuah memberi kebebasan penuh di bawah undang-undang yang ada supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas penguatkuasaan mereka tanpa takut dan pilih kasih," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata demikian mengulas pencapaian Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan dari sudut tata kelola menjelang setahun pentadbiran.
Anwar sebelum ini acap kali menegaskan pendirian tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan gejala rasuah dan penyelewengan di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
Anwar juga berjanji untuk turut memberi keutamaan dalam aspek tata kelola pentadbiran kerajaan.
Mengulas lanjur, Hasan berkata, menyentuh mengenai tata kelola sistem perundangan pula, Anwar telah mengambil inisiatif supaya menteri undang-undang menjalankan libat urus yang bertujuan pada akhirnya memisahkan jawatan Peguam Negara dengan jawatan pendakwa raya.
"Dalam pada itu Anwar sebagai Ketua Mesyuarat Dewan Rakyat turut memberi ruang kebebasan untuk speaker mengambil beberapa inisiatif untuk melakukan reformasi di Parlimen.
"Antaranya ada cadangan untuk menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, selain memberi jaminan dan komitmen untuk melindungi kebebasan badan kehakiman," katanya.
Sementara menyentuh mengenai aspek menjaga kesejahteraan kehidupan rakyat, Anwar telah memberi keutamaan kepada jaminan bekalan makanan atau keselamatan makanan dan mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi.
"Sebab itu lah Perdana Menteri telah merombak sistem pemberian lesen import (AP) dan beransur-ansur mengurangkan cengkaman golongan orang tengah dan kartel yang menindas rakyat dalam rantaian makanan dan perkhidmatan.
"Selain menjanjikan perubahan kehidupan berbelas juta rakyat pekerja di negara ini ialah inisiatif kerajaan memperkenalkan sistem gaji progresif sebagai jalan ke arah rakyat berpendapatan tinggi," katanya.
Katanya lagi, selain itu Anwar juga melaraskan tata kelola yang menjanjikan kemajuan dari segi ekonomi dan penghapusan sistem kapitalis kroni ialah langkah untuk menghapuskan sistem ali baba dalam pemerolehan tender dan kontrak projek kerajaan.
"Kerana adanya tata kelola pentadbiran yang tersusun ini walaupun tak nampak di mata umum maka hasilnya pertama, program subsidi membantu rakyat dapat diteruskan; kedua, harga minyak petrol dan disel masih dapat dikawal pada paras mampu rakyat; ketiga, kadar inflasi menurun; keempat, kadar pengangguran juga menurun; kelima, ada pertumbuhan ekonomi negara; dan keenam, defisit negara bagi belanjawan tahunan dapat dikurangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!