Pembangkang persoal 'formula' menoktahkan kemiskinan
KUALA LUMPUR - Pihak pembangkang mempersoal tempoh sasaran untuk menoktahkan kemiskinan tegar ekoran kaedah yang dirangka kerajaan termasuk tindakan bakal dilaksanakan didakwa tidak jelas.
Sehubungan itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) menggesa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk memberi penerangan lebih terperinci mengenai formula yang sedang dirangka atau akan dilaksanakan sebagai usaha menoktahkan kemiskinan tegar yang dijangka berlaku hujung tahun ini.
Selain itu beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan kaedah pengiraan kemiskinan tegar seperti dicanang Kerajaan Perpaduan selama ini.
"Ketika sesi pembentangan Bajet 2023 sebelum ini, Yang Berhormat (YB) Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebut bahawa kemiskinan tegar akan dinoktahkan hujung tahun ini dan semalam (Isnin) Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun sekali lagi mengulangi keyakinan tersebut.
"Realitinya dalam dunia, tiada mana-mana negara yang boleh menoktahkan kemiskinan tegar, hatta negara maju sekalipun.
Apa yang mungkin boleh dilakukan ialah mengurangkan kadar kemiskinan, tetapi saya hormati apa yang dibangkitkan YAB Tambun dan kenyakinan beliau dalam hal ini.
"Walaupun dari segi teori atau praktikal, jika diukur jurang pendapatan dan kadar pengangguran yang masih lagi tinggi di negara ini, saya tidak pasti bagaimana formula pengiraan kemiskinan tegar ini hendak dinoktahkan," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) ketika bangkit mencelah mengakui, keliru dengan tempoh diunjurkan untuk menoktahkan kemiskinan tegar berikutan terdapat percanggahan fakta.
"Dalam buku (KSP RMK12) yang dibentangkan, muka surat 17 disebut, kosong peratus untuk kemiskinan tegar ini pada 2025. Jadi adakah ini percanggahan dari sudut teks yang dibacakan oleh Tambun (Anwar).
Jadi saya mohon penjelasan berkaitan dua perkara berbeza ini," katanya.
Dalam pada itu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut mempersoalkan sasaran berkenaan dengan mengambil kira tempoh sehingga hujung tahun ini hanya berbaki beberapa bulan sahaja.
"Di kawasan saya ada 1,700 miskin tegar.
Ini data eKasih daripada pejabat daerah dan sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Madani, jumlah peruntukan yang turun di kawasan Parlimen Beluran lebih kurang RM300,000.
"Tetapi hasrat untuk menoktahkan kemiskinan tidak ada perancangan, tidak ada program ekonomi untuk membantu rakyat, tidak ada program atau peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur asas yang diperlukan oleh pendudukan di kawasan saya.
"Saya takut (sasaran itu tak tercapai), tempoh satu bulan setenga sebelum hujung tahun ini, hasrat Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan tegar di kawasan saya sebagai contoh, tidak akan tercapai," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!