Siap siaga hadapi bencana di kawasan berisiko tinggi

Wan Mohammad Zaidi (barisan kedua, tengah) bersama wakil agensi yang mengambil bahagian dalam D-MEX Gebeng 2023 di Pelabuhan Kuantan di sini pada Selasa.
Wan Mohammad Zaidi (barisan kedua, tengah) bersama wakil agensi yang mengambil bahagian dalam D-MEX Gebeng 2023 di Pelabuhan Kuantan di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana di kawasan berisiko tinggi antara tujuan Latihan Pengurusan Bencana Pelbagai Agensi (D-MEX) Gebeng 2023 peringkat negeri Pahang yang diadakan di Pelabuhan Kuantan di sini pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kawasan pelabuhan antara yang berisiko tinggi berlaku kebakaran serius, letupan dan pelepasan bahan toksik.

Menurutnya, latihan itu diadakan bagi melihat koordinasi antara agensi sekiranya berlaku sesuatu bencana termasuk dalam aspek penyaluran maklumat, arahan, strategi penyelamatan dan sebagainya.

"Peranan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan sesuatu bencana besar penting bagi menanganinya.

"Tanpa koordinasi yang baik, usaha menangani sesuatu bencana akan menghadapi masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan latihan itu di Pelabuhan Kuantan di sini pada Selasa.

Latihan melibatkan 22 agensi dengan hampir 400 peserta itu membabitkan latihan pemadaman kebakaran, tumpahan bahan kimia dan penyelamatan.

Wan Mohammad Zaidi berkata, latihan itu juga diadakan bagi melihat lihat aspek sumber termasuk keperluan logistik, peralatan dan sumber manusia.

Artikel Berkaitan:

"Bila berlaku bencana contohnya kebakaran melibatkan bahan petroleum, usaha menanganinya sukar dan berdepan masalah sekiranya sumber ini tidak cukup.

"Sudah pasti ia memerlukan bantuan, jadi latihan ini penting bagi mengenal pasti pihak-pihak yang dapat membantu dalam tempoh diperlukan supaya bencana yang dihadapi dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, pihak Pertubuhan Kerjasama Kecemasan Gebeng (Gema) yang dianggotai wakil 26 syarikat di kawasan perindustrian itu juga disaran mengadakan latihan seumpama itu secara berkala melibatkan pelbagai agensi atau kilang untuk kerjasama menyediakan bantuan yang diperlukan.

"Setakat ini belum ada kejadian besar yang boleh dikategorikan sebagai bencana berlaku di kawasan Gebeng ini kecuali kes-kes kecil yang dapat dikawal dan ditangani dengan mudah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!