Buluh penjana ekonomi negara

Kita patut menyahut cabaran agar buluh dikomersialkan dan seterusnya bersaing di peringkat global.
Kita patut menyahut cabaran agar buluh dikomersialkan dan seterusnya bersaing di peringkat global.
A
A
A

PRODUK buluh sering diperlekeh sesetengah masyarakat kita kononnya tidak kuat dan tidak berkualiti. Sedangkan dunia mengiktiraf buluh dan mampu menjana pendapatan negara mereka dalam pelbagai bidang industri termasuklah seni bina, reka bentuk dalaman, perabot, kraf tangan, kutleri, hiasan, landskap, fabrik dan makanan.

Bukti pengiktirafan dunia terhadap buluh dapat dilihat dalam seni bina terhebat mereka termasuk jambatan Cucuta, Columbia; Wuxi Grand Theatre, China; Barajas Madrid International Airport, Spain; Panyaden International School, Chiangmai Thailand; Green School Bali. Di Malaysia seperti masjid buluh, di Gua Musang dan Kuala Kangsar serta menara jam buluh di Hulu Perak. Produk bernilai tinggi juga dapat dilihat dalam dekorasi laminasi venir buluh untuk kereta berjenama BMW dan pemegang tas tangan kulit dan base minyak wangi daripada buluh berjenama Gucci.

Selain itu, produk buluh berlaminasi, strand woven bamboo dan densified Bamboo Connector adalah produk inovasi buluh di peringkat global.

Dengan nilai pasaran buluh dunia pada 2018 mencecah AS$70 bilion (World Economy, 2018), jelas produk buluh berpotensi untuk menjana pendapatan sesebuah negara. Maka kita di Malaysia harus mengambil langkah proaktif bermula dengan kesedaran masyarakat.

Oleh itu, kita patut menyahut cabaran agar buluh dikomersialkan dan seterusnya bersaing di peringkat global. Berbanding negara China, Philipina, Thailand, Indonesia dan negara-negara Asia lainnya, Malaysia masih agak ketinggalan dari segi perkembangan industri buluh.

Pencapaian hebat di negara-negara ini boleh dijadikan model di Malaysia. China sebagai contoh ialah penyumbang utama produk buluh dunia kerana faktor-faktor kesesuaian tanah, cuaca, jenis buluh, teknologi dan insentif kerajaan negara tersebut.

Memandangkan buluh cepat dan mudah tumbuh, menjadikan ia sumber yang mapan, lestari dan berpotensi sebagai bahan alternatif menggantikan sumber kayu yang semakin merudum.

Dengan sifatnya yang cepat tumbuh juga, buluh berpotensi mengurangkan kesan perubahan iklim dan pemanasan global, seterusnya mengurangkan kesan rumah hijau atau green house effect.

Artikel Berkaitan:

Buluh juga mempunyai ciri-ciri kekuatan kayu yang tinggi terutamanya kekuatan lenturan atau bengkokan berbanding dengan kayu, besi, aluminium dan lain-lain sumber bahan.

Oleh itu, dengan kesesuaian tanah, cuaca dan disokong oleh polisi pembangunan daripada kerajaan, maka tiada sebab industri ini tidak boleh berkembang di negara kita sendiri. Ia boleh menjana pendapatan negara setaraf dengan penjanaan ekonomi sumber biomas lain seperti kelapa sawit, getah dan kenaf.

Buluh dan pembangunan komuniti tidak boleh dipisahkan. Pembangunan komuniti industri buluh secara kecil-kecilan mampu menjana pendapatan masyarakat. Bahkan 1/3 penduduk dunia terlibat secara langsung dalam industri ini terutamanya di negara-negara sedang membangun termasuk Asia, Afrika dan Amerika Latin dan dapat menjamin pendapatan isi rumah.

Oleh itu, penglibatan masyarakat Malaysia sebagai usahawan buluh patut dititik beratkan oleh pihak tertentu dengan memberi insentif, geran dan mewujudkan polisi buluh kerana buluh merupakan green jewels yang bernilai tinggi jika ia ditambah nilai.

Pendekatan holistik perlu diambil oleh semua pihak berkepentingan untuk memperkasa industri buluh negara termasuk menilai status industri masa kini, mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi serta apakah kaedah pemerkasaan yang perlu diambil.

Dengan penglibatan semua pihak, mengambil kira pendekatan holistik ini, maka potensi buluh untuk menjana pendapatan negara akan menjadi kenyataan.

* Dr Siti Rafedah Abdul Karim, Teknologi Bio Komposit Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!