Hanya tiga penderma organ di Kelantan sejak 47 tahun
KOTA BHARU - Kelantan merupakan negeri paling rendah dalam pendermaan organ iaitu hanya 0.4 peratus sejak diperkenalkan 47 tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, hanya tiga individu yang tampil untuk menderma organ termasuk seorang penderma pada Ogos lalu.
Beliau memberitahu, antara faktor peratusan masih rendah ialah berkaitan isu agama, kesedaran masyarakat, promosi dan kebenaran waris.
"Mungkin ada yang berasakan prosedur pendermaan boleh menyeksa mayat tetapi fatwa sudah dikeluarkan yang pendermaan organ dibolehkan.
"Sekiranya isu agama yang membawa kepada persepsi tertentu terhadap pendermaan organ, kita sudah mengambil kira pandangan ulama berkaitan isu ini," jelas beliau.
Dr Zaini berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Abdul Haris Muhammad.
Dalam pada itu Dr Zaini Hussin berkata, seramai 10,747 pesakit dalam senarai menunggu transplan organ dari penderma yang direkodkan dalam statistik Pusat Sumber Transplan Nasional sehingga Julai 2023.
Beliau turut menghargai keputusan sukar waris tetapi pada masa sama bersikap terpuji kerana memberi kehidupan baharu kepada pesakit yang memerlukan.
Jelas beliau, pendermaan organ bukan satu proses mudah manakala jumlah pesakit yang memerlukan penderma organ di negara ini juga tinggi.
"Kami sebenarnya berusaha untuk melaksanakan prosedur secepat mungkin dan dengan sempurna dan kaedah itu juga boleh dimaklumkan kepada orang ramai bagi menarik bakal penderma organ," katanya.
Menurut Dr Zaini, pendermaan anggota badan yang boleh dilakukan selepas kematian otak dan jantung ialah kornea, tulang dan kulit.
"Bagaimanapun, jika jantung masih berfungsi dengan bantuan ubat, organ yang boleh didermakan ialah jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang.
"Secara kesimpulannya seorang penderma boleh menyelamatkan antara empat hingga lapan nyawa," katanya.
Minggu Kesedaran Pendermaan Organ yang diadakan enam hari bermula 7 September lalu bertujuan menarik pengikrar penderma organ dan meningkatkan kebenaran kepada waris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!