Pulau Pinang umum bantuan khas Aidilfitri setengah bulan gaji
GEORGETOWN - Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri sempena perayaan Aidilfitri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bantuan khas ini diberi kerana kerajaan negeri prihatin dengan tekanan kos sara hidup lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan yang dihadapi oleh kakitangan awam.
"Bantuan yang diberikan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM5.27 juta sebagai pemberian BKK kepada 3,905 penjawat awam di negeri ini," katanya pada sidang media di sini.
Pada masa yang sama, Kon Yeow turut menyeru kepada semua penjawat awam agar terus memberikan kerjasama dan komitmen untuk menjayakan semua inisiatif-inisiatif yang telah digariskan untuk membentuk Pulau Pinang ke arah Visi 2030 Pulau Pinang.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus berkata, kerajaan negeri kini dalam proses untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam di negeri ini. "Kita fokus untuk mengurangkan kakitangan yang berjawatan tetap terlebih dahulu khususnya mereka yang mempunyai masalah disiplin," kata Farizan.
Farizan berpesan kepada semua penjawat awam di Pulau Pinang agar sentiasa mengutamakan integriti dan menjaga imej baik institusi dalam menjalankan tugas.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!