Papagomo didenda RM2,100 cedera, hina Syed Saddiq
KAJANG - Bekas Exco Pemuda UMNO, Papagomo didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, selepas didapati bersalah mencederakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta menyebut perkataan kurang sopan dan menghina Ahli Parlimen Muar itu, lima tahun lalu.
Majistret, Muhammad Noor Firdaus Rosli memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, di akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pindaan iaitu menyebut perkataan kurang sopan dan menghina, tertuduh didenda RM100 atau penjara sehari jika gagal membayar denda.
Sementara pertuduhan mencederakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu, Wan Muhammad Azri, 40, didenda RM2,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar jumlah berkenaan.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, Muhammad Noor Firdaus berkata, bagi pertuduhan menyebut perkataan kurang sopan serta menghina, ia merupakan perbuatan yang mengganggu gugat keamanan.
"Bagi pertuduhan mencederakan, ia melibatkan beberapa pergerakan kecil jari, tetapi telah mendatangkan rasa sakit kepada mangsa (Syed Saddiq), maka hukuman (mencederakan) perlu setara dengan kekasaran yang telah dilakukan.
"Saya harap tertuduh, orang awam dan saya sendiri saling memperingatkan diri mengenai perkara yang telah ditinggalkan kepada kita," katanya.
Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam, Nik Saiful Adli Burhan yang mewakili Wan Muhammad Azri memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda yang minimum kerana mempunyai pendapatan yang tidak menentu.
“Selepas kejadian ini, dia tidak pernah melakukan kesalahan termasuk kekerasan, maka ini membuktikan dia seorang yang baik dan insaf," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim memohon tertuduh dikenakan hukuman yang wajar, sebagai pengajaran.
“Mahkamah perlu mengambil kira tertuduh merupakan orang yang dikenali masyarakat dan sepatutnya memberi contoh baik kepada umum.
"Mangsa telah mengalami kecederaan dan percakapan tertuduh mungkin dianggap biasa oleh tertuduh tetapi bukan dianggap biasa bagi individu lain,” katanya.
Dalam kes ini, seramai 11 saksi pendakwaan termasuk Syed Saddiq telah memberi keterangan pada perbicaraan bermula 4 November 2019 sementara di peringkat pembelaan seramai enam saksi termasuk Wan Muhammad Azri hadir memberikan keterangan.
Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Majistret memerintah Wan Muhammad Azri membela diri atas pertuduhan itu.
Sebelum ini dia didakwa atas pertuduhan mengaibkan kehormatan ahli Parlimen tersebut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Wan Muhammad Azri menghadapi pertuduhan menyebut perkataan kurang sopan dan menghina iaitu 'kau bodoh' terhadap Syed Saddiq, di mana keamanan mungkin terganggu.
Kajadian berlaku di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pada 11.05 pagi, 16 Februari 2019, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Dia juga turut didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu di bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!