'Stesen minyak mini' seleweng 25,000 liter minyak diesel bersubsidi

Norena (kanan) melihat tangki minyak di sebuah premis yang digunakan oleh sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Paya Rumput pada Selasa.
Norena (kanan) melihat tangki minyak di sebuah premis yang digunakan oleh sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Paya Rumput pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Tindakan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang menjadikan sebuah gudang sebagai 'stesen minyak mini' sejak lebih sebulan lalu di Paya Rumput di sini, terbongkar.

Kegiatan haram itu berjaya dihidu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman yang membuat serbuan tengah malam tadi sebelum menyerahkan kes itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka pada jam 11 pagi, Selasa.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan yang dijalankan di premis itu menemui sejumlah 25,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam tangki bernilai hampir RM87,500 yang dipercayai untuk dijual semula secara haram.

Menurutnya, kumpulan sindiket itu beroperasi menggunakan dua premis dan salah sebuah dijadikan sebagai stesen minyak mini bagi memudahkan lori-lori industri membeli dan mengisi minyak dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Katanya, susulan itu empat lelaki warga tempatan berusia 20-an hingga 40-an ditahan dan dipercayai ini merupakan modus operasi terbaru yang digunakan sindiket untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Norena (dua, kiri) menunjukkan peralatan yang digunakan bagi memindahkan minyak ke dalam tangki.
Norena (dua, kiri) menunjukkan peralatan yang digunakan bagi memindahkan minyak ke dalam tangki.

"Mereka menggunakan dua premis, satu premis dijadikan sebagai simpanan diesel dan satu lagi premis dijadikan sebagai tempat kenderaan mengisi minyak.

"Apabila lori datang dia akan pergi ke premis yang kosong itu dan masuk, yang mana situasi tersebut seolah-olah mereka membeli minyak di stesen pam petrol yang biasa," katanya kepada pemberita di Paya Rumput di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, bangunan berkenaan turut menjadi kediaman suspek berdasarkan kemudahan dibina termasuk dapur memasak.

Tambahnya, kesemua kenderaan dan peralatan lain yang ditemukan di lokasi terbabit disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM320,000.

"Siasatan masih dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!