Polis serbu rumah simpan arak seludup, rampasan RM50,419
MUAR - Polis menahan seorang lelaki dan merampas minuman keras pelbagai jenama selepas menyerbu sebuah rumah di Bakri di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar melakukan serbuan itu pada jam 7.30 petang.
"Dalam serbuan itu pihak polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan arak tanpa cukai. Polis merampas 48 kotak mengandungi pelbagai jenama arak.
"Anggaran nilai keseluruhan rampasan RM50,419," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Raiz Mukhliz berkata, Op Kontraban itu akan terus dijalankan dalam mengekang dan membanteras kegiatan penyuludupan terutama di daerah ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!