Melaka tubuh jawatankuasa khas kawal bekalan beras
JASIN - Kerajaan negeri Melaka akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengawal selia bekalan beras tempatan dalam menangani masalah kekurangan bekalan makanan ruji itu.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah penubuhan jawatankuasa itu akan melibatkan agensi utama iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kawalselia Padi dan Beras (KPB) negeri menerusi satu mesyuarat yang akan diadakan pada Rabu.
Menurutnya, pertemuan itu bagi membincangkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diwujudkan untuk mengatasi isu berkenaan serta memantau pergerakan keluar dan masuk bekalan beras.
Katanya, dengan kaedah ini pihaknya dapat mengenal pasti ketirisan bekalan beras yang berlaku susulan dakwaan terdapat segelintir syarikat yang cuba menyorok beras, namun tidak mempunyai bukti kukuh untuk mengambil tindakan terhadap mereka.
"Ada laporan diterima daripada sebuah pasar raya di Jasin hari ini memberitahu mereka tidak mendapat bekalan beras tempatan dan kali terakhir memperolehnya pada 5 September lalu.
"Mesyuarat esok bagi berbincang bersama dan memudahkan mereka menjalankan operasi penguatkuasaan dengan data yang diperoleh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan mengejut bekalan beras pada Op Jamin di sebuah pasar raya di Jasin di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, operasi secara mengejut itu bagi melihat sejauh mana kebenaran mengenai aduan kekurangan beras tempatan di pasaran.
Ujar beliau, meskipun hasil pemeriksaan mendapati terdapat kekurangan makanan ruji itu, namun yakin masalah berkenaan dapat diselesaikan tidak lama lagi.
"Setakat ini terdapat tiga pengilang akan membuat pembungkusan semula beras tempatan bagi menangani masalah ketidakcukupan bekalan di negeri ini bermula pada Jumaat ini," katanya.
Sementara itu, Shoo Chin berkata, sebanyak 127 premis telah diperiksa bagi memastikan bekalan dan harga beras putih tempatan serta beras putih import sentiasa mencukupi dan terkawal.
"Setakat ini terdapat hanya satu aduan yang diterima berkaitan dengan isu beras dan aduan tersebut telah disalurkan ke KPB untuk siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!