Darul Furqan beroperasi bulan depan
JOHOR BAHRU - Bangunan Darul Furqan yang terletak di Jalan Damansara Aliff bernilai RM6 juta akan mula beroperasi awal bulan depan.
Memiliki dua blok setinggi tiga dan empat tingkat, Darul Furqan dibeli melalui wakaf yang berjaya dikumpulkan sebanyak RM5.7 juta selama tiga tahun bermula 2016.
Exco Hal Ehwal Agama, Tosrin Jarvanthi berkata, bangunan itu bakal menjadi salah satu lagi pusat pendidikan bagi melahirkan generasi al-Quran di negeri ini.
"Darul Furqan ini salah satu perancangan dibuat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dalam usaha untuk memberi peluang kepada masyarakat Islam mendalami ilmu agama dan memperluas kefahaman ilmu.
"Ia juga sebagai salah satu pusat pendidikan untuk melahirkan generasi yang berlandaskan al-Quran dan Hadis," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Bangunan Darul Furqan di sini malam tadi.
Pelbagai aktiviti akan dijalankan di Darul Furqan sejajar objektif penubuhannya yang mahu menyemai dan menanam semangat cintakan al-Quran melalui proses pembacaan, pemahaman dan penghayatan.
Selain itu, Darul Furqan turut mensasarkan untuk melahirkan golongan berkemahiran dalam pelbagai ilmu Islam dan menyebarkan kepada masyarakat sejagat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!