Tak ambil peduli faktor lebih 10,000 bekas tentera tak daftar PVATM
SEREMBAN - Sikap tidak ambil penduli merupakan faktor utama ramai bekas tentera tidak mendaftarkan diri dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).
Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Adnan Ahmad berkata, mereka hanya sedar akan kepentingan menyertai persatuan apabila berdepan masalah terutama membabitkan kebajikan.
"Kita bukannya mahu memaksa untuk mereka sertai persatuan, tapi nak pastikan kebajikan mereka lebih terjaga. Itu matlamat utama.
"Tak perlu risau terikat dengan yuran bulanan kerana mereka hanya perlu membayar sekali saja seumur hidup dan boleh menikmati semua manfaat disediakan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, setakat ini seramai 16,800 bekas tentera termasuk tidak berpencen berdaftar dengan persatuan itu di Negeri Sembilan manakala dianggarkan lebih 10,000 masih belum berdaftar.
Tambahnya, berdasarkan pemerhatiannya kebanyakan yang tidak berminat berdaftar dengan persatuan adalah mereka yang baharu tamat perkhidmatan.
"Saya masih boleh terima jika yang tak daftar persatuan ini yang berusia 60 tahun ke atas, mungkin mereka kurang maklumat.
"Tapi sekarang ini yang baharu pencen dan bila ada yang diuji dengan masalah kesihatan atau berdepan kos sara hidup, baharulah nak cari kita, sedangkan dari awal kita dah uarkan-uarkan manfaat bersama persatuan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kira-kira 100,000 bekas tentera yang tidak berpencen digesa mendaftarkan diri dengan PVATM di kawasan masing-masing bagi memudahkan urusan kebajikan dan pentadbiran dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!