Pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya: Dua pasukan khas ditubuhkan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal ditubuhkan dalam mempercepatkan usaha reformasi pengasingan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dicadangkan untuk menjalankan kajian berdasarkan keterangan ke beberapa negara seperti England, Australia, Kanada dan Kenya bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka kajian amalan terbaik global.
"Penubuhan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dicadangkan terdiri daripada saya sendiri serta wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, wakil blok pembangkang, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU)," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, Pasukan Petugas Khas Teknikal pula akan meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan.
"Pasukan ini dicadangkan dikendalikan sepenuhnya oleh AGC dan BHEUU," ujar Azalina.
Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Teknikal akan menyediakan Laporan Interim dalam tempoh satu tahun mengenai Kajian Empirikal Komprehensif Pengasingan Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk mengambil kira hasil kajian berdasarkan keterangan dan pembentangan hasil kajian empirikal untuk pertimbangan jemaah menteri.
"Sesi libat urus dan perbincangan bersama pemegang taruh lain seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan lain-lain pula akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal pada masa terdekat," katanya.
Tambah Azalina, agenda reformasi itu penting dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan pentadbiran, sistem perundangan dan tata kelola yang baik.
"Pengasingan peranan AG dan pendakwa raya akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada serta peraturan-peraturan berkaitan selain membawa implikasi kewangan dan perjawatan yang besar," jelasnya.
Terdahulu Azalina mempengerusikan mesyuarat pertama dalam meneliti agenda reformasi pengasingan peranan AG dan pendakwa raya.
Antara yang dibincangkan terma rujukan dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan usaha reformasi tersebut.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Selayang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi; William Leong Jee, Ahli Parlimen Jelutong merangkap Ahli JKPK; RSN Rayer.
Wakil blok pembangkang dihadiri oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah; Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Besut; Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!