Mohamad Sabu bincang penanaman padi skala besar di Sabah esok

Datuk Seri Mohamad Sabu. Foto: Bernama
Datuk Seri Mohamad Sabu. Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri 1 dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan esok bagi membincangkan penanaman padi berskala besar di negeri itu.

Mohamad berkata, ini merupakan antara usaha kementerian dalam menangani isu keterjaminan makanan berkaitan beras selain akan berbincang mengenai kerjasama dengan pihak swasta untuk menjayakan perkara itu.

"Kita akan buka ladang-ladang padi kita di Sabah tak lama lagi dan esok saya akan jumpa Menteri Pertanian Sabah untuk bincang bagaimana nak menanam padi secara berskala besar di sana. Usaha ini kalau kita buat dengan teknologi dan cara yang betul insya-Allah kita boleh capai.

"Kita akan cari jalan yang terbaik bagaimana nak hadapi masalah (bekalan beras) ini dalam jangka masa panjang, dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pavillion Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dalam menangani isu keterjaminan makanan, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri diperlukan memandangkan bidang kuasa tanah terletak pada mereka.

Mengulas mengenai segelintir pihak yang menyalahgunakan tanah pertanian bagi tanaman padi kepada tanaman lain, Mohamad mengakui perkara itu berlaku mungkin disebabkan masalah pengairan di kawasan terlibat dan kementerian akan mengambil perhatian khas mengenai perkara terbabit.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau telah mengarahkan agensi-agensi di bawah KPKM untuk memperkenalkan barangan keluaran Malaysia di luar negara terutamanya makanan susulan nilai eksport ke luar negara yang tidak seimbang.

"Import barang-barang makanan ke Malaysia dalam lingkungan RM75 billion, kita eksport di sekitar RM40 billion masih lagi tidak seimbang. Ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebentar tadi menekankan soal memperkenalkan barangan buatan Malaysia khasnya dalam pemakanan.

"Kita juga ada pegawai di Rom (Itali), Amerika Syarikat, cuma kita harap mereka lebih aktif lagi dan badan-badan di bawah KPKM kita harap dapat bekerjasama dengan lebih hebat terutama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang paling utama," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan untuk tidak melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Dr Azman Ibrahim dalam program anjuran jabatan dan agensi di bawah KPKM di negeri itu.

"Tiada arahan apa-apa, kerja mereka ni memang suka berbohong," katanya.

Azman, menerusi hantaran di Facebook semalam mendakwa beliau menerima isyarat daripada beberapa ketua jabatan dan agensi di bawah KPKM yang berada di negeri itu bahawa ada arahan tidak bertulis daripada kementerian untuk tidak lagi melibatkannya dalam program-program jabatan mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!