Tak perlu bangkit lagi isu BN hilang undi Melayu - Abdul Halim
JOHOR BAHRU - Dakwaan Barisan Nasional (BN) kehilangan 27,000 undi Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu tidak perlu dibangkitkan lagi.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, ini kerana BN dan Pakatan Harapan (PH) sudah menang PRK tersebut dan dakwaan itu sudah tidak relevan.
"Kemenangan ini membuktikan hasil usaha keras jentera UMNO yang ikhlas berjuang memenangkan calon PH itu membuahkan hasil.
"Dakwaan ada ahli UMNO tidak keluar mengundi dan menyokong Perikatan Nasional (PN) adalah andaian semata-mata. Bagi kami yang bekerja di bawah ini adalah kemenangan yang diraih pada PRK ini.
"Jika dia (Isham Jalil) bercakap atas kapasiti Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tetapi tak turun membantu pun tidak ada gunanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tebrau Merdeka Ride 2023 di Felda Ulu Tebrau di sini pada Selasa.
Pada Ahad, Isham mendakwa BN kehilangan 27,000 undi Melayu pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang mungkin disebabkan pengundi Melayu tidak keluar mengundi atau sudah mengundi PN.
Sementara itu, Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, apa yang penting, jentera sudah bekerja keras untuk memastikan Kerajaan Perpaduan yang diasaskan PH dan BN menjadi lebih kukuh dan dipercayai.
Katanya, kemenangan PRK itu membuktikan kerajaan BN di Johor dan juga kerajaan Pusat berjaya menjalin kesefahaman utuh dalam menentukan kemenangan calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
"Ini membuktikan bahawa dalam membentuk kerajaan, UMNO dan BN benar-benar ihklas yang berjaya diterjemahkan secara berkesan pada PRK ini," ujar beliau.
Tambahnya, peratusan keluar mengundi rendah boleh dipengaruhi pelbagai faktor seperti pengundi luar tidak pulang atau tidak menganggap PRK ini penting, namun itu tidak menjejaskan peluang PH-BN untuk menang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!