Pembaca berita bersuara emas Raymond Goh selamat dikebumikan

Jenazah Allahyarham Muhammad Zaman Goh Abdullah @ Raymond Goh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, sekitar 5.30 petang pada Selasa. - Foto Awani/Shahir Omar
Jenazah Allahyarham Muhammad Zaman Goh Abdullah @ Raymond Goh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, sekitar 5.30 petang pada Selasa. - Foto Awani/Shahir Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenazah Allahyarham Muhammad Zaman Goh Abdullah @ Raymond Goh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, sekitar 5.30 petang pada Selasa.

Terdahulu jenazah Allahyarham dimandi dan dikapankan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, dan seterusnya disempurnakan solat jenazah di masjid itu.

Pemerhatian Awani mendapati, ramai dalam kalangan mereka yang berkecimpung dalam dunia penyiaran dan media tanah air hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Beliau seorang yang sangat menghormati sesama insan, dan mempunyai karektor atau keperibadian yang cukup mesra dengan orang di sekeliling.

Cukup banyak pengalaman beliau yang saya kira amat-amat berharga,” kata bekas pembaca berita kanan TV3, Kelvin Ong Abdullah.

Wartawan penyiaran Media Prima Berhad, Ridhuan Hussain pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang begitu sinonim dengan TV3, namun cukup merendah diri.

“Kebiasaannya kalau kita terserempak dengan dia, dia yang akan ‘spark the conversation’ dengan kita, tanpa mengira kita baru menyertai MPB atau sudah lama.

Itu sesuatu yang cukup membuat saya kagum dengan public figure ini,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pembaca berita Buletin Utama dan Nightline, Azaria Tagaya turut senada, dan menyifatkan Allahyarham tiada galang-gantinya.

“Sudah pasti pemergian Allahyarham bukan sahaja akan dirindui keluarga media, tetapi juga akan sentiasa dikenang oleh mereka yang mendengar suara emas dan melihat wajah tenangnya di kaca televisyen,” katanya lagi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor sekitar pukul 10.40 pagi Selasa.

Sebelum itu, Allahyarham dilaporkan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!