Dipaksa jadi scammer, penderitaan lebih setahun di Myanmar berakhir

Chon Siang menunjukkan kesan parut pada tubuh Kun Yang akibat didera majikan ketika berada di Myanmar.
Chon Siang menunjukkan kesan parut pada tubuh Kun Yang akibat didera majikan ketika berada di Myanmar.
A
A
A

KUANTAN - Tawaran gaji lumayan sebagai pelayan restoran di Thailand membawa seorang remaja lelaki yang ketika itu berusia 18 tahun ke negara berkenaan untuk mencuba nasib demi mengubah kehidupannya pada Mei tahun lalu.

Malangnya, peluang pekerjaan ditawarkan kenalan Facebook yang baru dua bulan dikenali itu rupanya umpan kegiatan pemerdagangan manusia yang mencari mangsa untuk dijual kepada sindiket penipuan dalam dalam talian di Myanmar.

Mangsa, Seng Kun Yang, 19, berasal dari Perak mendakwa dia dijual kepada dua majikan di Yatai dan KK Garden, Myanmar sebelum dipaksa bekerja sebagai ejen aplikasi perjudian dan 'scammer' untuk menipu orang ramai secara dalam talian.

Menurutnya, ekoran keengganan mematuhi arahan sindiket dan sering minta pulang, dia telah diseksa termasuk didera dan dikurung beberapa kali dalam tempoh setahun empat bulan sepanjang berada di bawah dua majikannya itu.

"Bukan setakat dipukul hingga luka-luka, saya turut dikurung dalam keadaan tangan tergantung dan pernah direndam dalam perigi selama lima hari.

"Boleh dikatakan setiap hari hidup terseksa menyebabkan berat badan yang awalnya hampir 90 kilogram (kg) susut kepada 50kg selepas dibebaskan," katanya ketika ditemui bersama Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum di sini pada Selasa.

Jelasnya, setiap pekerja ditetapkan sasaran kutipan AS$50,000 (RM233,750) sebulan dan jika gagal dicapai, mereka akan didera termasuk dipukul.

"Semasa bekerja di sebuah syarikat di KK Garden, terdapat lebih 200 pekerja di sana dan kira-kira 160 daripadanya terdiri warga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan sering melawan dan enggan mengikuti arahan, hukuman yang saya terima lebih berat.

"Saya memang tidak sanggup lagi melalui hidup terseksa di sana hingga satu ketika saya minta dibebaskan atau mereka melihat saya mati bunuh diri," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia pernah membayar RM35,000 kepada majikan pertama untuk dibebaskan.

Kun Yang bersama Chon Siang pada sidang akhbar di Pusat Khidmat DUN Teruntum pada Selasa.
Kun Yang bersama Chon Siang pada sidang akhbar di Pusat Khidmat DUN Teruntum pada Selasa.

"Selepas bayaran dibuat saya dibawa ke tempat lain, ingatkan hendak dihantar pulang seperti dijanjikan rupanya dijual pula kepada majikan lain di KK Garden.

"Ketika di sana (KK Garden), saya tidak fikir lain selain mati.

"Keluarga pernah mendapat bantuan wakil sebuah parti politik di Myanmar untuk mencari saya dengan memaparkan wajah di akhbar.

"Malangnya, selepas berita itu disiarkan, majikan marah dan bertindak merendam saya dalam perigi dari jam 7 pagi hingga 7 petang setiap hari selama lima hari berturut-turut," ceritanya.

Katanya, walaupun diberi makan, makanan disediakan menjijikkan termasuk sup anjing dan ayam yang masih ada bulu.

"Tidak tahan dengan keadaan itu, sekali lagi saya minta dibebaskan dan mereka bersetuju dengan bayaran RM30,000.

"Mujur kali ini mereka tunai janji dan saya berjaya pulang.

"Sebelum itu saya hubungi YB (Chon Siang) minta bantuan dan melalui pertolongannya saya berjaya pulang dan selamat sampai ke Malaysia pada Isnin," katanya.

Menceritakan kembali awal perjalanannya ke Thailand hingga terjebak dengan sindiket itu, Kun Yang berkata, selepas tiba di Bangkok pada 14 Mei 2022 secara sah melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia dibawa oleh seorang lelaki ke ke Mea Sot, Thailand.

Chon Siang menunjukkan antara video yang menunjukkan kesan kecederaan dialami Kun Yang akibat didera majikan ketika berada di Myanmar.
Chon Siang menunjukkan antara video yang menunjukkan kesan kecederaan dialami Kun Yang akibat didera majikan ketika berada di Myanmar.

Menurutnya, ejen syarikat memberitahu jawatan pelayan restoran yang dijanjikan untuknya telah penuh dan dia akan dihantar ke tempat kerja lain.

"Saya bersama seorang remaja lelaki warga Malaysia berusia 16 tahun dibawa ke satu lokasi menaiki kereta selama lapan jam perjalanan.

"Selepas tiba kami ditempatkan di sebuah hotel sebelum diarah menaiki van bersama kira-kira 20 orang yang lain.

"Masa itu saya tidak syak apa-apa sehinggalah kami dibawa ke satu kawasan di tepi sungai dan diarah menaiki bot ke seberang," katanya.

Menurutnya, selepas naik ke tebing, lima lelaki bersenjata api menunggu dan membawanya bersama yang lain ke sebuah tempat sebelum dikurung.

"Masa itu baru saya tahu kami berada di Yatai, Myanmar dan dipaksa kerja sebagai 'scammer' di sana," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!