700 ahli pengakap teruja tonton filem Malbatt: Misi Bakara
KEMAMAN – [DIKEMAS KINI] Seramai 700 ahli pengakap dari 22 buah sekolah rendah di daerah ini teruja apabila berpeluang menonton filem Malbatt: Misi Bakara di Mesra Mall di sini, pada Selasa.
Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kemaman, Idris Bidin berkata, program anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Kemaman itu disertai pemimpin pengakap, pengakap kanak-kanak (PKK), pengakap muda (PM), pengakap remaja (PR) dan pengakap khas (PKhas) tahap dua di sekolah berkenaan.
Menurutnya, program itu adalah program tahunan pengakap Kemaman untuk menggilap semangat patriotisme, jati diri serta sayang kepada negara.
"Program ini merupakan kesinambungan program tahun lepas. Sebelum ini kita bawa anak-anak pengakap untuk tonton filem Mat Kilau bagi menerapkan semangat kepahlawanan dalam diri serta untuk mereka lihat betapa sukarnya perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu dahulu kala mengalahkan penjajah untuk menuntut kemerdekaan.
"Kali ini Malbatt: Misi Bakara juga mempunyai misi sama untuk menerapkan dalam diri anak-anak semangat dan keberanian tentera-tentera Malaysia yang berjuang untuk membebaskan tentera Amerika yang terperangkap di medan perang," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Selasa.
Menurutnya, program anjuran Majlis Pengakap dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman itu diadakan selama dua hari iaitu Selasa dan Rabu dengan melibatkan penyertaan seramai 1,200 pelajar.
"Esok giliran seramai 500 pelajar sekolah menengah yang akan menonton filem ini. Kita harap ia dapat memberikan semangat baharu, keberanian, rasa cinta mendalam kepada negara.
"Kita juga harap anak-anak akan lebih bertanggungjawab untuk terus memelihara keamanan negara kerana ia penting untuk mereka meneruskan kehidupan pada masa akan datang," katanya.
Filem Malbatt: Misi Bakara berkisar kisah benar di sebalik insiden Black Hawk Down yang menyaksikan tindakan berani mati anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 menyelamatkan 70 anggota US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, pada 1993.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!