Fasa pertama pelepasan sisa air radioaktif Fukushima selesai
TOKYO - Pengendali loji nuklear Fukushima di Jepun pada Isnin mengesahkan fasa pertama pelepasan sisa air terawat radioaktif ke Lautan Pasifik telah selesai selepas langkah kontroversi itu dimulakan pada 24 Ogos lalu.
"Sepanjang tempoh 17 hari pertama, kira-kira 7,800 tan sisa air dari 10 tangki telah dibuang," ujar jurucakap Tokyo Electric Power Company (Tepco), Teruaki Kobashi.
Difahamkan, terdapat kira-kira 1.34 juta tan sisa air terawat radioaktif disimpan di dalam kira-kira 1,000 tangki di kemudahan tersebut yang pernah terjejas teruk akibat bencana berganda pada 2011.
"Kakitangan di loji itu akan membersihkan saluran paip dan peralatan lain serta memeriksa sistem berkaitan sebelum memulakan fasa kedua dalam tempoh beberapa minggu akan datang," jelasnya lagi sambil menambah kesemua data pensampelan air laut dan ikan menunjukkan tahap radiasi berada di bawah had dibenarkan standard antarabangsa.
Proses itu yang mengundang bantahan keras negara-negara jiran Jepun dan golongan terlibat industri perikanan dijangka berterusan selama beberapa dekad.
Sebelum ini, China turut melarang import makanan laut dari Tokyo sebagai tindak balas tegas hingga memaksa kerajaan Jepun menggunakan dana bantuan kecemasan untuk membantu pihak yang terkesan sekatan tersebut.
Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Fumio Kishida menerusi ucapan ketika Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di New Delhi menegaskan jaminan keselamatan dan ketelusan mereka dalam menyalurkan maklumat tentang proses itu berjaya meraih sokongan komuniti antarabangsa malah beliau juga menggesa Beijing menarik balik larangan berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!