'Banyak kampung di Sabah jalan tak berturap, tiada elektrik, air'

Datuk Seri Bung Moktar Radin. Foto Bernama
Datuk Seri Bung Moktar Radin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta memberi tumpuan kepada pembangunan di Sabah yang masih dibelenggu tiga masalah asas utama meliputi akses jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, masih terdapat kawasan di Sabah yang jalannya masih tidak berturap selain banyak kampung-kampung yang masih tiada bekalan elektrik dan air bersih.

"Sebab itu saya meminta Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri fokus untuk membangunkan negeri Sabah. Sabah memerlukan pembangunan yang fokus.

"Ada (kampung) yang ada paip besar bertahun-tahun, tapi airnya tidak keluar. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah perlu memandang hal ini secara serius,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Di dalam perbahasannya itu Bung Moktar turut mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi kelonggaran kepada syarikat swasta yang berminat untuk menyiapkan fasa kedua dan ketiga Lebuhraya Pan Borneo sekiranya menghadapi kesukaran kewangan.

"Ini penting sebab Sabah adalah negeri yang berkemampuan untuk dimajukan,” katanya.

Selain itu, Chiew Choon Man (PH-Miri) dalam perbahasannya mahu kerajaan segera menaik taraf Lapangan Terbang Miri yang kini sesak dan terpaksa beroperasi melebihi kapasiti asalnya sehingga menyukarkan ketersambungan pengangkutan bagi penduduk di kawasan pedalaman utara Sarawak.

"Lapangan Terbang Miri merupakan lapangan terbang keenam paling sibuk di Malaysia dan bangunan terminal yang hanya mampu menampung dua juta orang setiap tahun kini beroperasi melebihi kapasiti asalnya.

"Saya mohon projek naik taraf ini disegerakan kerana lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang utama yang akan menyambungkan penduduk pedalaman utara Sarawak dengan kawasan lain di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Richard Rapu (GPS-Betong) dalam perbahasannya pula mahu kerajaan memperluaskan model penanaman padi ke Sarawak, serta menyediakan dana bagi pembangunan infrastruktur dan sistem pengairan yang efektif.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya projek pertanian berskala besar melibatkan kerjasama komuniti, sektor awam dan swasta dapat dilaksanakan, dengan pihak swasta bertindak sebagai pendorong untuk membantu pihak awam dan komuniti merentasi seluruh rantaian bekalan.

"Insentif boleh disediakan berasaskan pengeluaran hasil dan memberikan ganjaran kepada petani yang berdaya maju. Selain itu kolaborasi dengan swasta dapat menentukan penggunaan sumber yang optimum," katanya.

Persidangan bersambung esok. - Bernama