Guru tuisyen rugi RM206,000 terpedaya pulangan lumayan
BATU PAHAT - Seorang guru tuisyen berputih mata apabila kerugian RM206,000 selepas diperdaya satu skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan menerusi Facebook baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, perkara itu terbongkar apabila mangsa yang merupakan wanita berusia 48 tahun itu membuat laporan polis pada Isnin.
"Menerusi laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, mangsa memaklumkan pada 11 Ogos lalu telah berurusan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Facebook dan WhatsApp.
"Mangsa menghubungi lelaki berkenaan untuk pembelian buku bahasa Cina terpakai. Setelah itu mangsa diajak oleh suspek untuk menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa kemudian diminta suspek untuk menekan pautan pelaburan dengan memasukkan identiti pengguna dan kata laluan suspek yang telah diberikan kepada wanita berkenaan.
Bagi meyakinkan mangsa katanya, suspek memberitahu kononnya bahawa terdapat keuntungan berjumlah AS$200,000 milik lelaki terbabit yang masih belum ditebus.
Pada masa sama katanya, mangsa juga diterangkan menerima keuntungan akan selepas jam 10 malam dengan setiap modal yang dilaburkan akan diperoleh semula beserta baucar 5 peratus.
"Mangsa kemudiannya telah berminat dengan tawaran pelaburan tersebut dan pada tarikh 25 Ogos sehingga 5 September telah membuat pindahan wang ke dalam lima akaun bank yang berbeza atas arahan suspek berjumlah RM206,000," katanya.
Bagaimanapun kata Ismail, selepas membuat pembayaran, mangsa tidak menerima sebarang pulangan dan baucar seperti yang dijanjikan.
Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis selepas menyedari ditipu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis menasihati orang ramai agar tidak terpadaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika mempunyai sebarang keraguan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!