India rampas barangan antik bernilai lebih AS$3 juta
NEW DELHI - Agensi antipenyeludupan India Direktorat Perisikan Hasil (DRI) telah merampas barangan antik dan artifak bersejarah dengan anggaran nilai lebih AS$3.2 juta, kata pegawai pada Selasa.
Rampasan itu dibuat di pelabuhan Mundra di negeri barat India Gujarat, dalam satu operasi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan agensi tersebut untuk melindungi warisan budaya global, menurut pegawai.
"DRI telah merampas barangan vintaj, barangan antik dan artifak sejarah, dianggarkan bernilai lebih AS$3.2 juta dalam pasaran, daripada satu konsainan import," menurut kementerian kewangan persekutuan dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.
Operasi itu dilakukan berdasarkan maklumat yang melibatkan sebuah kontena import yang dihantar dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang diisytiharkan sebagai bagasi dan barangan peribadi.
"Semasa pemeriksaan, kontena itu didapati mengandungi patung-patung lama, peralatan vintaj, lukisan, perabot antik, dan barangan warisan berharga lain. Beberapa barangan ini dari abad ke-19," kata kementerian itu.
"Beberapa barangan itu diperbuat daripada batu permata, emas, perak atau bersalut emas/perak."
Pegawai berkata, majoriti objek yang dirampas adalah dari negara Eropah, terutamanya Britain dan Belanda.
"Konsainan itu dinilai sangat rendah untuk mengelak duti kastam," menurut kenyataan kementerian itu lagi. "Barangan seperti ini mempunyai permintaan yang besar dalam pasaran haram." - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!