Warga emas hilang sejak empat hari
JEMPOL- Seorang lelaki warga emas hilang sejak empat hari lalu selepas dipercayai keluar dari kediamannya di Kampung Serting Ilir di sini.
Lelaki berkenaan, Ibrahim Mohammad, 60, yang berkepala botak kali terakhir dilihat oleh keluarganya memakai baju t-shirt berwarna hitam dan seluar warna kelabu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, anak keempat daripada enam beradik itu tinggal bersebelahan rumah kakaknya dan masih bujang.
"Kakaknya itu akan menghantar makanan kepada adiknya sebanyak tiga kali sehari, tetapi pada Sabtu lepas kira-kira jam 8 pagi semasa dia menghantar sarapan mendapati adiknya tiada di rumah.
"Adiknya itu sebelum ini selalu keluar berjalan ke kawasan berdekatan dan akan pulang semula ke rumah, namun kali ini berbeza," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Chang Hook berkata, keluarganya bertindak mencari lelaki berkenaan di kawasan berhampiran bagaimanapun gagal menemuinya lalu membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kikir pada Isnin.
"Orang hilang ini berbadan kurus, kulit hitam, ketinggian lebih kurang 157cm, berat badan 60 kilogram, kepala botak.
"Ini pertama dia keluar rumah tanpa pengetahuan kakaknya. Berdasarkan maklumat juga dia pernah menaiki bas sendirian dan akan ke rumah kakak serta adiknya di Port Dickson.
"Kali terakhir dia ke Port Dickson naik bas pada Rabu lalu dan kakak pengadu akan hantar semula dia balik ke Kampung Serting Ilir," katanya.
Justeru orang ramai mempunyai maklumat mengenai orang hilang ini diminta tampil ke balai polis berhampiran.
"Orang ramai juga boleh menghubungi pengawai penyiasat kes iaitu SM Abdul Karim di talian 013-9227680 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4583449,Balai Polis Batu Kikir 06-4981222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Usaha berterusan mengesan orang hilang ini turut dilakukan bersama majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) dan penduduk setempat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!