Thailand mara automatik ke Qatar 2024, Malaysia kena tunggu

Antara aksi menarik perlawanan Kumpulan H, Malaysia menentang Thailand dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2024 Qatar di Chonburi, Thailand pada Selasa. FOTO: Football Association of Malaysia
Antara aksi menarik perlawanan Kumpulan H, Malaysia menentang Thailand dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2024 Qatar di Chonburi, Thailand pada Selasa. FOTO: Football Association of Malaysia
A
A
A

TANDUKAN 'peluru' Yotsakon Burapha cukup menyaksikan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara memilih laluan sukar untuk mara ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Qatar 2024 apabila tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi, Bangkok, Thailand pada Selasa.

Kekalahan tipis itu menyaksikan pemburuan slot automatik skuad Harimau Muda berakhir dan terpaksa menanti keputusan perlawanan lain menyebelahi angkatan E Elavarasan tersebut bagi slot empat naib juara terbaik ke pusingan akhir di Qatar berkenaan.

Selain tuan rumah Qatar, hanya 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan beraksi di Piala Asia B-23.

Angkatan muda negara dijanakan kapten Mukhairi Ajmal tampil dengan reputasi dua kemenangan ke atas Bangladesh (0-2) dan Filipina (0-4) bermula garang dalam perlawanan di Stadium Chonburi tersebut.

Namun ketandusan idea angkatan Elavarasan menyaksikan rangkaian jentera serangan Harimau Muda gagal menterjemahkan beberapa percubaan dalam bentuk jaringan dalam perlawanan berintensiti tinggi tersebut.

Gajah Perang Muda yang tampil dengan reputasi pendahulu kumpulan dengan mengatasi Filipina (5-0) dan Bangladesh (3-0), lebih tenang menyerap asakan pasukan muda negara, akhirnya memimpin separuh masa pertama hasil jaringan Burapha pada minit ke-20 sekali gus gol tunggal perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Thailand mara ke pusingan akhir kejuaraan B-23 untuk kali kelima dengan status juara Kumpulan H manakala Malaysia naib juara.

Sementara itu, Filipina melakar kemenangan pertama selepas menewaskan Bangladesh 1-0 dalam satu lagi perlawanan sebelum itu.

Artikel Berkaitan:

Gol kemenangan The Young Azkals itu dijaringkan Muens yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-56 untuk tiga mata pertama pasukan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!