Usah 'main wayang' atas kesusahan orang lain
TIDAK dinafikan peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedikit sebanyak dapat membantu golongan kurang berkemampuan. Setiap pertubuhan mempunyai kekuatan tersendiri, namun objektifnya tetap satu iaitu membuat kebaikan untuk manfaat orang ramai.
Setakat ini, lebih 72,000 NGO berdaftar di Malaysia dengan pelbagai latar belakang dan perkhidmatan ditawarkan. Terdapat juga usaha sama antara NGO dan kerajaan dalam memantau polisi dan dasar yang dibentuk.
Namun, di sebalik lambakan NGO-NGO ini, timbul persoalan yang sering dibangkitkan iaitu segelintir pertubuhan dikhuatiri menjadi alat manipulasi oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan peribadi.
Kebimbangan tersebut timbul berikutan polisi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membenarkan mana-mana NGO mengambil sehingga 30 peratus jumlah kutipan dana bagi menampung kos menggerakkan aktiviti mereka.
Disebabkan itu, ada antara mereka menjadikan platform NGO untuk mengaut keuntungan. Mereka sekadar ‘main wayang’ atas kesusahan masyarakat.
Tidak hairanlah ada yang hidup mewah walaupun tidak mempunyai pekerjaan atau perniagaan.
Sekadar menjalankan kerja-kerja NGO sudah cukup untuk bersenang-lenang menggunakan sebahagian dana dikutip daripada orang ramai.
Tidak kurang juga ada yang sanggup berhenti kerja bagi menjalankan kerja-kerja NGO sepenuh masa.
Bermodalkan foto dan cerita sedih masyarakat, mereka mampu mengutip dana ribuan ringgit hanya dalam tempoh sehari.
Ada juga yang melancarkan kempen bantuan kemanusiaan untuk membantu mereka memerlukan di luar negara, tetapi sebenarnya mengambil peluang untuk melancong ke negara berkenaan.
Mungkin dari kaca mata masyarakat melihat penggerak NGO ini sebagai hero kerana memperjuangkan nasib rakyat tanpa menyedari mereka ini sebenarnya ‘main wayang’ mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang ramai.
Pendakwah yang juga Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung sebelum ini pernah mendedahkan mengenai kewujudan sindiket yang mengambil kesempatan terhadap kemurahan hati umat Islam di negara ini.
Sindiket ini ‘membuat duit’ menerusi misi membantu pembinaan telaga di Kemboja untuk kegunaan umat Islam di negara itu. Beliau mendakwa, hal itu didedahkan kepadanya ketika berada di negara berkenaan bersama beberapa aktivis dan pendakwah tempatan.
Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah dan tidak ada masalah untuk menyokong kerja-kerja amal yang dilakukan NGO-NGO dalam membantu orang ramai.
Namun, disebabkan perbuatan segelintir NGO ‘main wayang’ inilah yang mencemarkan nama NGO-NGO lain yang benar-benar ikhlas menggerakkan aktiviti membantu orang ramai.
Oleh kerana itu, penting bagi semua pihak untuk mengkaji latar belakang mana-mana NGO atau individu terlebih dahulu sebelum membuat sumbangan.
Jadikan track record NGO terlibat atau pihak yang mengaturkan program sumbangan sebagai panduan untuk melihat sama ada mereka benar-benar boleh dipercayai atau sebaliknya.
Antara contoh track record yang boleh dipercayai ialah gerakan Misi Rakyat yang berjaya mengutip dana RM9 juta untuk seorang bayi, Wan Muhammad Naail bagi merawat penyakit Spinal Muscular Athropy pada tahun lalu.
Begitu juga penderitaan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kini berusia empat tahun, yang berjaya diterbangkan ke kota London pada tahun 2019 untuk menjalani pembedahan kanser mulut hasil ihsan masyarakat.
Selain NGO, usaha selebriti, Datuk Aznil Nawawi mencari dana lebih RM100,000 bagi membantu membiayai kos pembedahan penyanyi, Zamani Slam juga boleh dijadikan contoh yang baik.
Malah, terdapat juga beberapa pendedahan terhadap aktivis dan NGO yang menjadi tumpuan rakyat, antaranya sumbangan rakyat negara ini kepada tabung dana oleh penceramah, Ebit Lew dalam satu misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin pada dua tahun lalu.
Ia susulan kenyataan Ebit bahawa perbelanjaannya ke Gaza adalah dengan menggunakan wangnya sendiri tanpa melibatkan dana daripada pihak luar.
Jika bantuan digerakkan dengan niat ikhlas dan betul, sudah pasti sumbangan dikumpulkan akan memberi banyak manfaat kepada mereka yang betul-betul memerlukan.
* Syamilah Zulkifli ialah Ketua Wartawan Negeri Sembilan dan Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!