Jalan Gurun-Jeniang gelap tiada lampu jalan
APA Khabar Rakyat meninjau masalah yang dibangkitkan pengguna Jalan Gurun-Jeniang apabila terpaksa melalui laluan berkenaan dalam keadaan gelap dan sunyi terutama pada waktu malam berikutan ketiadaan lampu.
Biarpun ada dalam kalangan pengguna mengakui beberapa kawasan yang dilalui agak menakutkan disebabkan dikelilingi ladang kelapa sawit, namun perjalanan terpaksa diteruskan kerana laluan itu memendekkan jarak antara pekan Gurun dan Jeniang kira-kira 20 kilometer.
Ikuti laporan wartawan, Siti Zubaidah Zakaraya yang turun padang bagi melihat sendiri keadaan sebenar di lokasi berkenaan.
ALOR SETAR - Pengguna Jalan Gurun - Jeniang melahirkan kebimbangan kerana jalan tersebut bukan sahaja gelap, malah agak sunyi pada waktu malam berikutan kekurangan kenderaan selain dikelilingi ladang kelapa sawit dan hutan.
Seorang pekerja swasta, Sunita Ibrahim, 45, berkata, dia pernah melalui jalan berkenaan ketika pulang ke rumah di Sik kira-kira jam 11.30 malam dan mengakui keadaan di situ agak menyeramkan kerana laluan tersebut agak gelap ekoran tiada lampu jalan.
Menurutnya, terdapat papan tanda amaran ‘Awas, Kawasan Kemalangan’ yang diletakkan di laluan tersebut, namun hanya disedari apabila disuluh dengan lampu kenderaan.
“Jalan itu memang gelap ditambah pula suasana sunyi sebab tiada kenderaan di kedua-dua arah ketika itu, hanya apabila sampai di perkampungan penduduk, baru ada lampu,” katanya.
Seorang pekerja kilang, Mohd Hanif Harun, 39, pula berkata, tuntutan kerja menyebabkan dia perlu berulang-alik antara Gurun ke Jeniang menggunakan laluan itu termasuk ketika bekerja shif malam sejak empat tahun lalu.
“Itu sahaja jalan yang cepat untuk sampai ke rumah, walaupun gelap namun tetap berhati-hati menunggang motosikal, jika ada kenderaan di laluan sama, rasa lega sikit kerana boleh beriringan ikut kereta hadapan.
“Saya pernah terserempak dengan babi yang tiba-tiba melintas. Mujur tidak berlanggar kerana hanya perasan bila terlalu dekat, nasib baik sempat mengelak,” jelasnya.
Menurut penduduk, Ramli Said, 63, laluan yang seakan-akan lebuh raya dua lorong itu dibina kira-kira 15 tahun lalu perlu dipasang lampu jalan bagi memudahkan pengguna.
Tambahnya, pemandu seringkali memecut kenderaan mereka apabila melalui kawasan tersebut kerana sunyi pada waktu malam selain jumlah kenderaan yang sedikit.
“Penduduk kampung terutama wanita jarang keluar waktu malam termasuklah yang mahu ke surau dan masjid kerana bimbang jalan gelap, berisiko kemalangan selain takut kejadian jenayah seperti ragut dan samun.
“Sebagai penduduk dan pengguna, kami minta agar dipasang lampu jalan, yang ternyata bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada penduduk, tetapi untuk pengguna dari beberapa daerah lain antaranya Sik, Baling dan Kota Setar untuk ke Kuala Muda dan sebaliknya,” jelasnya.
Bagi penduduk, Hazizah Abdullah, 62, kemunculan haiwan liar termasuk monyet, babi, ular dan lembu yang dipercayai sesat sehingga merayau di kawasan berkenaan pada waktu malam merupakan antara perkara yang sering didengar.
“Seelok-eloknya lampu jalan dipasang sebab gelap sangat, ia juga salah satu kemudahan asas yang sepatutnya dinikmati rakyat. Jalan dah elok tetapi tiada lampu.
“Itu tidak kira lagi waktu hujan lebat kerana sudah pasti jarak pandangan terhad,” ulasnya.
Seorang lagi penduduk, Sharimah Abdullah, 57, berkata, kemudahan lampu jalan adalah keperluan rakyat yang perlu disegerakan kerana melibatkan kepentingan awam.
“Kalau tak mahu pasang di sepanjang laluan, boleh pasang dengan jarak tertentu sama ada di simpang masuk kampung atau selekoh bahaya. Bila gelap, macam-macam boleh berlaku, kita tak mahu bila berlaku tragedi barulah tindakan dilakukan,” ujarnya.
Bagi pengguna jalan itu, Baizura Hazizan, 40, keprihatinan pihak berwajib untuk menaik taraf laluan tersebut dengan kemudahan lampu, amatlah diharapkan.
“Bila ada lampu, bukan sahaja penduduk akan lega tetapi ia telah membantu meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dengan mengurangkan kemalangan sekali gus melancarkan perjalanan tanpa rasa bimbang dan takut apatah lagi dengan cerita-cerita mistik yang diceritakan,” katanya.
Cake sifatkan lampu jalan keperluan mendesak
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff memandang serius kemudahan lampu di Jalan Gurun – Jeniang yang disifatkan sebagai keperluan mendesak berikutan keadaan kawasan berkenaan yang dipercayai sering berlaku kemalangan.
Menurutnya, fungsi lampu jalan bertujuan meningkatkan aspek keselamatan pengguna selain mengambil kira kepentingan awam ketika melalui laluan berkenaan terutama pada waktu malam.
Jelasnya, alat keselamatan lain seperti pemantul cahaya juga boleh menjadi alternatif bagi mengelakkan risiko kemalangan.
“Kita tidak hanya memandang kepada jalan ini sahaja yang bermasalah sebaliknya, turut berharap agar tumpuan diberikan kepada jalan lain di Kedah yang terdedah kepada risiko sama.
“Ada beberapa kawasan hotspot lain yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan diharap dipertingkatkan aspek keselamatan, ini juga perlu diberi keutamaan,” katanya.
Tambah Mohamad Yusrizal, agensi berkaitan diminta cakna terhadap keperluan ini dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan terutamanya yang meragut nyawa di laluan berisiko.
“Sebelum ini banyak kempen keselamatan jalan raya dibuat sebagai kesedaran awal kepada pengguna, ia sangatlah baik namun bertambah baik juga apabila kemudahan jalan raya dipertingkatkan ciri-ciri keselamatannya, demi kebaikan bersama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!